DUNIA > BERITA

Anwar Kutuk Pengeboman Di Quetta, Ucap Takziah Kepada Rakyat Pakistan

09/11/2024 09:12 PM

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa sedih beliau terhadap insiden pengeboman ngeri di Quetta, Pakistan yang telah meragut nyawa sekurang-kurangnya 24 orang dan menyebabkan ramai lagi cedera.

"Bagi pihak Malaysia, saya mengucapkan takziah kepada rakyat Pakistan yang meratapi kehilangan orang tersayang akibat perbuatan tidak masuk akal dan dahsyat ini," katanya dalam hantaran di laman Facebook hari ini.

Beliau berkata tindakan kejam dan ganas itu, yang menyasarkan orang awam serta anggota keselamatan, adalah peringatan jelas tentang ancaman berterusan yang dicetuskan oleh puak ekstrem dan berideologi tegar sehingga menjejaskan kemajuan serta keamanan dalam masyarakat Islam.

Anwar juga berkata Malaysia berdiri teguh dalam solidariti dengan kerajaan Pakistan bagi memerangi keganasan.

Menurut laporan media antarabangsa, sekurang-kurangnya 24 orang maut manakala lebih 40 lagi cedera dalam letupan bom di stesen kereta api di Quetta yang terletak di barat daya Pakistan pada Sabtu.

Pakistan kini bergelut dengan serangan yang semakin meningkat oleh puak pemisah etnik dan militan Islam di wilayah Balochistan di barat laut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan