DUNIA > BERITA

Jojie Samuel Tamatkan 32 Tahun Perkhidmatan Diplomatik Dengan Cemerlang

30/11/2024 05:39 PM

Oleh Kenny Teng Khoon Hock

BANGKOK, 30 Nov (Bernama) -- Selepas 32 tahun menabur bakti dalam perkhidmatan diplomatik Malaysia, Datuk Jojie Samuel mengakhiri tugasnya penuh dengan kenangan pahit manis  apabila tempoh perkhidmatannya  bersama Kementerian Luar berakhir di Thailand.

Duta Besar Malaysia ke Thailand itu memulakan kerjaya gemilangnya di Kementerian Luar pada Disember 1992 sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD). Beliau merupakan seorang daripada kumpulan pertama yang mengikuti kursus diplomatik selama empat bulan di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar  (IDFR) ketika itu.

 

Perjalanan Gemilang

Mengenang kembali perjalanan kariernya, Jojie berkongsi bahawa lebih tiga dekad dalam perkhidmatan memberikan peluang kepadanya untuk mewakili Malaysia di pelbagai negara, termasuk Kanada, Iraq, Türkiye, Austria, Cuba, dan Thailand.

“Tugasan pertama saya di luar negara ialah di Kanada pada tahun 1995, di mana saya ditempatkan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Ottawa.

"Ia merupakan kejutan budaya, terutama semasa musim sejuk yang ekstrem, tetapi seperti kata orang, misi pertama itu seperti cinta pertama - tidak pernah dilupakan," katanya dalam wawancara eksklusif bersama Bernama.

Beliau turut mengimbas kembali cabaran yang dihadapi sepanjang kerjayanya, termasuk semasa bertugas di Baghdad ketika pengeboman Iraq pada 1998, yang disifatkannya sebagai antara pengalaman paling mencabar tetapi penuh makna.

“Menyaksikan kejadian pengeboman secara langsung adalah pengalaman mengejutkan, namun ia mengajar saya tentang ketahanan, kepentingan diplomasi di zon konflik, dan menghargai kehidupan,” katanya.

 

Kenangan Manis di Thailand

Anak kelahiran Johor Bahru itu memulakan tugasnya di Bangkok pada Januari 2018, yang pada asalnya dirancang untuk tempoh tiga tahun. Namun, akibat pandemik COVID-19, tempoh perkhidmatannya dilanjutkan sehingga hampir tujuh tahun, menjadikannya penempatan luar negara paling lama dalam kerjaya beliau.

“Bangkok akan sentiasa dekat di hati saya, bukan sahaja kerana ia merupakan tugasan paling lama, tetapi juga kerana kemesraan dan kebaikan hati rakyat Thailand. Ketabahan dan kemurahan hati mereka memberi kesan mendalam kepada saya,” katanya.

Antara detik bersejarah sepanjang tempoh perkhidmatannya termasuk menghadiri istiadat pertabalan Raja Maha Vajiralongkorn atau Raja Rama X pada 2019.

Beliau juga berbangga dapat menyampaikan ucapan tahniah mewakili Kor Diplomatik sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kitaran  Keenam  Raja Thailand pada Julai tahun ini.

“Saya berasa amat dihormati dapat mewakili Malaysia dan menyaksikan acara bersejarah seperti itu,” katanya.

 

Bab Baharu Menanti

Ketika ditanya mengenai perancangan selepas bersara, Jojie meluahkan keterujaan untuk memulakan bab baharu yang penuh dengan aktiviti santai dan bermakna, termasuk meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga, bermain golf, menyanyi, dan melancong.

“Sudah tentu saya akan meluangkan masa berkualiti bersama keluarga. Tetapi dengan pengalaman profesional dan peribadi saya, saya juga bersedia untuk menawarkan bimbingan kepada kerajaan, agensi, atau perniagaan yang berminat dalam hubungan Malaysia -Thailand atau ASEAN,” katanya.

Jojie turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia, Kementerian Luar, dan Kerajaan Diraja Thailand atas kepercayaan serta kerjasama sepanjang tempoh perkhidmatannya.

“Saya telah berusaha sedaya upaya untuk menjaga imej Malaysia dan mempromosikan kepentingan negara di Thailand. Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia, Kerajaan Thailand, dan semua pihak yang telah memberikan sokongan sepanjang perjalanan saya di sini,” katanya.

Beliau turut berharap hubungan diplomatik Malaysia dan Thailand terus kukuh, membawa keamanan, kestabilan, dan kemakmuran bersama demi manfaat seluruh rantau ini.

Hari terakhir perkhidmatan Jojie ialah pada 29 November. Beliau dan isterinya, Datin Catherina Cherian Samuel, dijadualkan pulang ke Malaysia dari Thailand petang ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan