SHANGHAI, 31 Dis (Bernama-Xinhua) -- Firma pengeluar kenderaan Amerika Syarikat, Tesla memulakan pengeluaran percubaan di kilang mega terbaharunya di Shanghai, tujuh bulan selepas pembinaan bermula, menurut Tesla China pada Selasa.
Tesla memaklumkan kepada Xinhua, kilang itu dikhaskan bagi pembuatan bateri penyimpanan tenaga Tesla atau Megapack dengan pengeluaran besar-besaran dijangka bermula sepenuhnya pada suku pertama 2025.
Kilang mega ini, yang merupakan kilang kedua Tesla di Shanghai membuktikan komitmen syarikat itu untuk melabur di ekonomi kedua terbesar dunia, sekali gus menepis retorik "pemisahan" dan "pengurangan risiko" dari China yang dimomokkan sesetengah ahli politik Amerika.
Pembinaan kilang itu mencatatkan rekod baharu 'kepantasan (pengeluaran) Tesla'’ di China’ seperti dilakukan oleh Gigafactory, kilang pertama Tesla di hab kewangan timur China, yang dibina dan dirasmikan dalam tempoh setahun pada 2019.
Kilang baharu ini mempunyai kapasiti awal untuk menghasilkan 10,000 unit kereta setahun, bersamaan dengan kira-kira 40 GWh penyimpanan tenaga.
Meliputi kawasan seluas kira-kira 200,000 meter persegi, kilang baharu ini melibatkan pelaburan keseluruhan sekitar 1.45 bilion yuan (kira-kira US$201.7 juta), menurut pentadbiran Kawasan Khas Lin-gang di Zon Perintis Perdagangan Bebas China (Shanghai).
Kilang mega ini yang pertama seumpamanya yang dibina Tesla di luar Amerika Syarikat, susulan perasmian gigafactory pada 2019 yang melibatkan pelaburan awal melebihi 50 bilion yuan.
Pada majlis pelancaran kilang mega pada Mei lepas, Tesla menandatangani perjanjian dengan Shanghai Lingang Economic Development (Group) Co. Ltd., bagi memastikan kejayaan kumpulan pertama pesanan Megapack di China.
-- BERNAMA-XINHUA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial