SEOUL, 3 Jan (Bernama-Yonhap) -- Agensi anti-rasuah Korea Selatan menangguhkan percubaannya untuk menahan Presiden Yoon Suk Yeol selepas berlakunya konfrontasi selama beberapa jam antara pasukan penyiasat dan pegawai keselamatan presiden, lapor Agensi Berita Yonhap.
Pejabat Siasatan Rasuah bagi Pegawai Berperingkat Tinggi (CIO) memaklumkan pihaknya menghentikan pelaksanaan waran penahanan pada 1.30 petang, kira-kira lima jam selepas penyiasat tiba di kediaman presiden untuk menahan Yoon.
"Kami memutuskan bahawa pelaksanaan waran penahanan adalah mustahil disebabkan oleh konfrontasi berterusan dan menghentikan pelaksanaannya demi keselamatan kakitangan di lokasi, disebabkan oleh penentangan.
"Kami akan membuat keputusan mengenai langkah seterusnya selepas membuat semakan.
"Kami menyatakan kekesalan terhadap tingkah laku suspek yang enggan mematuhi prosedur yang ditetapkan secara sah," menurut CIO dalam satu kenyataan kepada media.
CIO mempunyai tempoh sehingga Isnin untuk melaksanakan waran penahanan ke atas Yoon selepas beliau dikenakan tuduhan pemberontakan dan penyalahgunaan kuasa berkaitan percubaan gagal melaksanakan undang-undang tentera pada 3 Dis.
Tunjuk perasaan oleh penyokong Yoon di luar kediaman presiden telah merumitkan usaha CIO, bersama potensi berlakunya pertembungan dengan Perkhidmatan Keselamatan Presiden (PSS).
Lebih daripada 1,000 penunjuk perasaan berkumpul berhampiran kediaman presiden sejak beberapa hari kebelakangan ini bagi membantah pemecatan Yoon dan menghalang penangkapannya.
Penyiasat mengemukakan waran yang dikeluarkan oleh mahkamah untuk menahan Yoon dan menggeledah kediaman presiden, namun telah dihalang oleh ketua PSS Park Chong-jun dengan alasan kawasan itu adalah zon larangan.
Sebelum berhadapan dengan PSS, penyiasat juga dihalang oleh unit tentera yang ditempatkan di kawasan itu.
Dua peguam Yoon, Yun Gap-geun dan Kim Hong-il dilihat memasuki kediaman semasa kejadian itu.
Pasukan pembelaan Yoon menyifatkan waran itu sebagai "tidak sah dan tidak berperlembagaan" dan memfailkan injunksi terhadap pelaksanaannya.
Pada Jumaat, Yun memberitahu Agensi Berita Yonhap bahawa "tindakan undang-undang" akan diambil terhadap percubaan CIO itu.
-- BERNAMA-YONHAP
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial