AM > BERITA

LPNM Bangunkan Pusat Pemprosesan Sisa, Komited Perkukuh Rantaian Industri Nanas

05/01/2025 03:45 PM

Oleh Nur Fatin Mohmad Kadenen

JOHOR BAHRU, 5 Jan (Bernama) -- Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) sedang membangunkan sebuah Pusat Pemprosesan Sisa Nanas di Rompin, Pahang dalam usaha untuk memperkukuhkan rantaian industri nanas negara.

Pengerusi LPNM Sheikh Umar Bagharib Ali berkata pusat berkenaan yang dijangka beroperasi pada suku pertama tahun ini dibangunkan menerusi Projek Perintis Pembangunan Industri Sisa Nanas dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM2 juta disalurkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk pelbagai projek pembangunan berkaitan sisa nanas.

Beliau berkata menerusi projek itu juga, seramai lima pengusaha nanas menerima manfaat pemberian mesin penghancur sisa nanas dan lima pengusaha lagi menerima mesin mengekstrak benang nanas yang melibatkan beberapa negeri termasuk Sarawak.

Seterusnya Sheikh Umar berkata usaha yang dilakukan LPNM itu antaranya adalah bagi memperkasa program tuaian sisa nanas seiring dengan konsep “Sekali Tanam, Tiga Kali Tuai” iaitu tuaian buah, tuaian benih dan tuaian sisa.

Tuaian sisa mengikut beliau merupakan dan antara contoh fokus utama LPNM dalam mengukuhkan rantaian tuaian itu menerusi penghasilan ‘pinapeat’ yang merupakan produk separa pemprosesan dari sisa nanas yang telah melalui proses pengeringan.

Sheikh Umar berkata pinapeat boleh digunakan untuk penghasilan pelbagai jenis produk akhir hiliran seperti kertas, makanan haiwan, medium bongkah cendawan dan pelbagai produk yang mampu menjana pendapatan tambahan kepada pengusaha.

“LPNM komited dalam memperkukuhkan lagi industri ini terutama dalam konteks pengurusan sisa yang antaranya dilakukan melalui pelaksanaan projek perintis seumpama ini.

“Bagi memastikan industri ini terus berkembang, LPNM perlu mengkomersialkan sisa nanas dan mampu untuk membekalkannya kepada pemain industri dalam kuantiti yang tinggi. Justeru, LPNM sentiasa berusaha melakukan penambahbaikan termasuk inisiatif penggunaan mesin seperti ‘Forage Harvester’ dan pembinaan Pusat Pemprosesan Sisa Nanas.

“Ini semua akan membantu untuk mengeluarkan sisa-sisa nanas pada skala yang besar, sama ada dalam bentuk sisa basah, sisa kering dan serat supaya pemain industri boleh ambil, sekali gus memperkukuhkan lagi industri ini,” katanya dalam temu bual bersama Bernama yang turut dihadiri Pengarah Bahagian Pembangunan Produk Dan Bioteknologi Elmie Adha Ismail di LPNM Johor di sini baru-baru ini. 

Sheikh Umar dalam pada itu berkata LPNM sedang giat melaksanakan kerjasama melibatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan pelbagai pihak bagi membangunkan produk berasaskan makanan dan bukan makanan dengan 13 kajian telah dan masih dalam pelaksanaan sejak 2021 hingga tahun lepas, sementara empat lagi dijangka akan dilakukan tahun ini.

Beliau berkata ia termasuk kajian bersama penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) bagi membangunkan ‘pineapple leather’ dan ‘kertas pulpa mentah’ serta serat bersama Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN).

Sheikh Umar berkata LPNM turut memberi perhatian dalam membantu 250 usahawan Industri Asas Tani (IAT) dengan mempelbagaikan lagi pengeluaran produk makanan berasaskan nanas dan menambah baik kualiti serta inovasi dari segi penggunaan teknologi dan keunikan produk mereka.

“LPNM juga akan berusaha untuk meramaikan lagi pengusaha IAT bukan makanan, sejajar dengan fokus dan konsep tuaian ketiga yang kita perkenal.

“Usaha ini kita akan perkembangkan dan diperkasa pada tahun-tahun mendatang khususnya apabila memasuki fasa Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) nanti dengan pelbagai permohonan bajet yang akan kita kemukakan kepada kementerian,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata LPNM bertekad untuk meneruskan momentum kecemerlangan industri nanas tahun ini berdasarkan pencapaian nilai eksport produk nanas negara iaitu sebanyak RM899 juta setakat September lepas.

“Sebelum angka kumulatif diperolehi berakhir Disember 2024, LPNM menjangkakan nilaian eksport produk nanas Malaysia ke luar negara bakal mencecah RM1 bilion,” katanya.

Beliau menyatakan LPNM juga berjaya merekodkan pertambahan keluasan kawasan tanaman nanas sebanyak 1,674 hektar tahun lepas, sekali gus akan menambahkan lagi keluasan tanaman nanas kepada 18,275.7 hektar mengikut data berakhir pada tahun 2023.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan