BERITA TERGEMPAR | Malaysia and ASEAN should continue to engage, attract investors from the United States, Europe and China without being forced to take sides -- PM Anwar | |
Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 22 Jan (Bernama) -- ASEAN menggesa pelaksanaan penuh dan berkesan perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas di Gaza serta menyeru dihentikan segera keganasan dan semua tawanan serta tahanan dibebaskan, termasuk rakyat dari negara anggota ASEAN.
ASEAN juga menggesa semua pihak untuk mengekalkan keadaan yang kondusif bagi pelaksanaan penuh perjanjian ini, mematuhi terma-terma dengan sebenar-benarnya dan berusaha ke arah penyelesaian yang komprehensif dan kekal selari dengan undang-undang antarabangsa, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan resolusi Majlis Keselamatan PBB (UNSC) yang relevan.
"Perjanjian ini merupakan langkah penting untuk mengakhiri konflik, termasuk mencegah penderitaan berterusan dan kehilangan nyawa.
Kami berharap ia juga akan memupuk keamanan dan kestabilan yang berkekalan di rantau ini, untuk membina semula masyarakat Palestin," menurut kenyataan yang dikeluarkan Pengerusi ASEAN.
ASEAN turut menggesa semua pihak untuk mengusahakan penyelesaian damai bagi konflik ini dan penyelesaian dua negara selaras dengan undang-undang antarabangsa dan resolusi-resolusi UNSC dan Perhimpunan Agung PBB yang relevan, termasuk kemasukan anggota baharu ke dalam PBB yang diterima pada 10 Mei 2024, yang disokong oleh semua anggota ASEAN.
ASEAN turut menggesa penyampaian bantuan kemanusiaan dengan selamat dan tanpa halangan kepada rakyat Palestin, termasuk menerusi Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) di Asia Barat, serta pembinaan semula Gaza dengan segera.
Persatuan itu menyambut baik perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 19 Januari dan memuji usaha Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat sebagai pengantara perjanjian berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial