DUNIA > BERITA

Kotak Hitam Pesawat Jeju Air Berhenti Merakam 2 Km Sebelum Landasan - Laporan Awal

27/01/2025 03:00 PM

SEOUL, 27 Jan (Bernama-Yonhap) -- Pihak berkuasa Korea Selatan yang menyiasat nahas tragik Jeju Air bulan lepas mengeluarkan laporan awal kemalangan itu pada Isnin, mendedahkan  kotak hitam pesawat itu berhenti merakam kira-kira dua kilometer (km) sebelum pesawat menghampiri landasan.

Agensi Berita Yonhap melaporkan bahawa ini merupakan laporan pertama sebagai sebahagian daripada siasatan berterusan terhadap nahas di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan pada 29 Dis yang meragut nyawa 179 daripada 181 orang di dalam pesawat Boeing 737-800 berkenaan. Hanya dua orang terselamat.

Penemuan awal itu akan diserahkan kepada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), serta pihak berkuasa penerbangan di Amerika Syarikat, Perancis dan Thailand, menurut kementerian pengangkutan.

Jawatankuasa penyiasatan di bawah kementerian pengangkutan mendedahkan lokasi anggaran di mana kotak hitam yang merangkumi perakam data penerbangan (FDR) dan perakam suara kokpit (CVR), berhenti berfungsi.

Menurut laporan itu, kotak hitam berhenti merakam pada 8.58.50 pagi pada 29 Dis, empat minit  dan tujuh saat sebelum pesawat itu melanggar "localiser" berhampiran landasan.

Kementerian itu memaklumkan bahawa beberapa bulan diperlukan untuk menganalisis FDR dan CVR bagi pengesahan lanjut.

Laporan itu selanjutnya menyatakan bahawa masa sebenar kejadian pelanggaran dengan burung, bilangan burung yang terlibat dan sama ada kehadiran spesies burung lain, masih belum dapat dipastikan.

Kementerian itu telah memberi taklimat kepada keluarga mangsa mengenai penemuan awal itu dalam satu pertemuan pada Sabtu.

-- BERNAMA-YONHAP


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan