ISTANBUL, 16 Jun (Bernama-Anadolu) -- Iran pada Isnin menyatakan bahawa keputusan untuk menarik diri daripada Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) akan ditentukan oleh pihak berkuasa yang berkaitan, lapor Anadolu Ajansi.
“Mengenai isu penting seperti bagaimana untuk menangani NPT, keputusan perlu dibuat oleh pihak berkuasa berkaitan,” kata jurucakap Kementerian Luar Esmaeil Baqaei ketika menjawab soalan berhubung kemungkinan Iran menarik diri daripada perjanjian itu.
Baqaei menegaskan bahawa Iran menganggap semua senjata pemusnah besar-besaran, termasuk senjata nuklear, bertentangan dengan ajaran dan kepercayaan agama.
Parlimen Iran sebelum ini menafikan laporan mengenai penarikan diri daripada NPT dan menegaskan bahawa ia tidak merancang untuk mengemukakan sebarang resolusi berkaitan perkara itu, menurut media tempatan.
Minggu lepas, pemantau nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapati Iran telah melanggar komitmen nuklearnya buat kali pertama dalam tempoh 20 tahun.
Ketegangan serantau memuncak sejak Jumaat selepas Israel melancarkan serangan udara berselaras ke beberapa lokasi di Iran termasuk kemudahan ketenteraan dan nuklear, yang mencetuskan serangan balas dari Tehran.
Pihak berkuasa Israel melaporkan sekurang-kurangnya 24 orang terbunuh dan ratusan lagi cedera akibat serangan peluru berpandu Iran sejak Jumaat.
Sementara itu, Iran menyatakan sekurang-kurangnya 224 orang terkorban dan lebih 1,000 lagi cedera dalam serangan Israel.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial