DUNIA > BERITA

Gencatan Senjata Mesti Diutamakan Di Timur Tengah - Presiden China 

20/06/2025 02:48 PM

BEIJING, 20 Jun (Bernama-CMG) -- Pelaksanaan gencatan senjata mesti diutamakan di Timur Tengah, kata Presiden China Xi Jinping dalam perbualan telefon dengan rakan sejawatnya dari Rusia Vladimir Putin pada Khamis.

Semasa pemimpin kedua-dua negara bertukar-tukar pandangan mengenai situasi di Timur Tengah, Xi membentangkan prinsip dan pendirian China dengan berkata bahawa situasi amat kritikal di Timur Tengah pada masa ini dan ia sekali lagi membuktikan, dunia sedang berada dalam tempoh pergolakan dan transformasi baharu.

Xi berkata, pihak-pihak yang terlibat dalam konflik terutamanya Israel, perlu menghentikan operasi ketenteraan secepat mungkin untuk mengelakkan ketegangan situasi semakin meruncing dan mengawal kesan akibat peperangan.

Usaha bagi memastikan keselamatan penduduk awam mesti diutamakan.

“Pihak-pihak yang terlibat dalam konflik perlu mematuhi undang-undang antarabangsa, mengelakkan kematian dan kecederaan dalam kalangan masyarakat awam yang tidak berdosa, dan memberi syarat bagi memudahkan rakyat dari negara pihak ketiga keluar dari lokasi konflik.

“Dialog dan rundingan merupakan penyelesaian tuntas. Pelbagai pihak perlu berpegang kepada penyelesaian isu nuklear Iran secara politik, dan mendorong isu itu kembali ke landasan penyelesaian politik melalui dialog dan rundingan.

“Usaha masyarakat antarabangsa dalam menggalakkan rundingan damai amat diperlukan. Masyarakat antarabangsa, terutamanya negara berkuasa besar yang berpengaruh terhadap pihak-pihak yang berkonflik perlu berusaha untuk meredakan ketegangan situasi serantau. Majlis Keselamatan PBB  juga perlu memainkan peranan yang lebih besar dalam penyelesaian masalah ini,” katanya.

Xi menegaskan bahawa China bersedia meningkatkan komunikasi dan koordinasi dengan pelbagai pihak, menegakkan keadilan dan perpaduan serta memainkan peranan yang bersifat membina untuk memulihkan keamanan di Timur Tengah.

-- BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan