TEHRAN, 20 Jun (Bernama-MNA) -- Menteri Luar Iran Abbas Araghchi menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) supaya melaksanakan dan menguatkuasakan Resolusi 487 yang diterima pakai pada 1981 sebagai tindak balas terhadap tindakan agresif Israel ke atas kemudahan nuklear Iraq, lapor Agensi Berita Mehr (MNA).
Dalam satu hantaran di akaun X beliau pada Jumaat, Araghchi berkata reaktor air berat di Arak - yang berada di bawah pengawasan ketat sistem perlindungan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dan sedang dibangunkan mengikut spesifikasi teknikal yang dipersetujui di bawah Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) - telah diserang oleh Israel pada Khamis.
Beliau menegaskan bahawa adalah penting untuk UNSC, yang dijadual bersidang hari ini, mempertahankan dan melaksanakan Resolusi 487 berikutan serangan Israel terhadap kemudahan nuklear Iraq seperti yang diiktiraf dalam resolusi berkenaan pada 1981.
“Sebarang serangan ketenteraan terhadap kemudahan nuklear adalah bersamaan dengan serangan terhadap sistem perlindungan IAEA dan satu pelanggaran Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT),” katanya sambil menambah bahawa Resolusi 487 bukan sahaja perlu diguna pakai terhadap tindakan lampau, tetapi juga untuk insiden akan datang.
Araghchi menekankan bahawa jika UNSC melaksanakan resolusi itu, ia juga mesti memperincikan butiran pelaksanaannya kepada masyarakat antarabangsa.
“Sekiranya rejim Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) gagal, maka Majlis Keselamatan PBB bersama rejim Israel perlu dipertanggungjawabkan,” katanya.
-- BERNAMA-MEHR
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial