DUNIA > BERITA

Penutupan Selat Hormuz Akan Jejas Amerika Syarikat, Seluruh Dunia – Ketua RDIF

23/06/2025 01:50 PM

MOSCOW, 23 Jun (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- Kemungkinan penutupan Selat Hormuz oleh Iran tidak akan mengecualikan Amerika Syarikat daripada kesan yang timbul, malah tiada negara akan terselamat daripada gangguan pasaran minyak global, kata Ketua Eksekutif Dana Pelaburan Terus Rusia (RDIF), Kirill Dmitriev, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Pihak berkuasa Iran sebelum ini beberapa kali menegaskan bahawa mereka berhak menutup Selat Hormuz sebagai tindak balas terhadap serangan oleh Israel. 

Pada Ahad, Parlimen Iran turut bersetuju bahawa Selat Hormuz wajar ditutup, menurut anggota Suruhanjaya Keselamatan Negara dan Dasar Luar Parlimen Esmail Kowsari.

“Harga minyak ditentukan secara global. 

"Jika Selat Hormuz ditutup, Amerika Syarikat juga tidak akan terlepas. Tiada siapa kebal daripada kejutan minyak dunia – harga di pam minyak akan melonjak,” kata Dmitriev menerusi platform X.

Menurut data dagangan, sehingga 11.48 malam Ahad, niaga hadapan minyak Brent mencatat kenaikan 2.45 peratus kepada US$77.33 setong, susulan peningkatan ketegangan konflik antara Iran dan Israel.

-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan