ISTANBUL, 24 Jun (Bernama-Anadolu) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, pada Selasa memberi amaran kepada Israel agar tidak mengebom Iran, menyifatkannya sebagai “pelanggaran besar” terhadap perjanjian gencatan senjata, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Israel. Jangan gugurkan bom itu. Jika kamu lakukannya, ia adalah pelanggaran besar. Bawa pulang juruterbang kamu, sekarang juga!” kata Trump dalam satu hantaran di platform media sosialnya, Truth Social.
Kenyataan Trump dibuat selepas Menteri Pertahanan Israel Israel Katz mengarahkan tenteranya menyerang Tehran dengan mendakwa Iran melanggar gencatan senjata yang diumumkan oleh Trump sebelum ini.
Sejak 13 Jun, Israel melancarkan serangan ke atas kemudahan nuklear dan ketenteraan Iran, dengan alasan Tehran semakin hampir memiliki senjata nuklear.
Iran, yang menafikan mempunyai program senjata nuklear, bertindak balas dengan serangan peluru berpandu.
AS kemudiannya mengebom tiga kemudahan nuklear utama Iran di Fordow, Natanz dan Isfahan pada awal pagi Ahad. Trump mendakwa serangan itu “menghapuskan sepenuhnya” kesemua tapak itu.
Serangan balas Iran terhadap Pangkalan Udara Al Udeid milik tentera AS di Qatar berlaku pada petang Isnin, namun tidak menyebabkan kerosakan besar atau korban nyawa, dan perjanjian susulan kemudiannya menamatkan “Perang 12 Hari”.
Gencatan senjata pada mulanya diumumkan oleh Trump, yang menyatakan ia melibatkan pemberhentian operasi secara berperingkat, dengan Iran memulakan dahulu dan Israel mengikutinya 12 jam kemudian. Penghentian penuh permusuhan akan diumumkan pada jam ke-24.
Media Israel melaporkan Qatar sebagai pihak yang menjadi pengantara perjanjian itu.
Presiden AS itu kemudian mengesahkan bahawa gencatan senjata berkuat kuasa dan memberi amaran kepada kedua-dua negara agar tidak melanggarnya: “Gencatan senjata kini berkuat kuasa. Tolong jangan langgar!”
--BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial