KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Canselor Jerman Friedrich Merz menyatakan penghargaan kepada Malaysia atas peranannya sebagai perantara dalam konflik antara Thailand dan Kemboja.
Jurucakap kerajaan Jerman, Stefan Kornelius berkata Merz menyampaikan perkara itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi perbualan telefon pada Isnin.
Menurut portal trading-house.net, Kornelius berkata keutamaan kini adalah untuk terus meredakan ketegangan konflik.
Laporan itu turut menyebut bahawa Merz memuji hubungan baik antara Jerman dan Malaysia.
“Sebagai Pengerusi ASEAN ketika ini dan juga secara dua hala, Malaysia merupakan rakan penting bagi Jerman di rantau ini. Merz dan Anwar turut bersetuju mempertingkatkan hubungan ekonomi antara kedua-dua negara,” katanya.
Sementara itu, Perancis turut memuji peranan Anwar sebagai Pengerusi ASEAN dalam memudahkan rundingan gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja.
“Perancis mengalu-alukan pengumuman gencatan senjata yang berkuat kuasa pada malam Isnin, 28 Julai, serta penyambungan semula dialog antara Thailand dan Kemboja susulan pertemuan Perdana Menteri kedua-dua negara yang berlangsung di Malaysia pada tarikh yang sama.
“Perancis menyeru agar perjanjian gencatan senjata itu dilaksanakan secara berkesan,” menurut kenyataan itu.
Perancis turut menyifatkan perkembangan itu sebagai titik permulaan penting ke arah penyelesaian jangka panjang melalui kaedah aman berlandaskan undang-undang antarabangsa, selain mengulangi komitmennya terhadap peranan utama ASEAN dalam menyelesaikan pertikaian serantau.
Negara itu turut menegaskan kesediaannya untuk menyumbang kepada usaha antarabangsa, khususnya yang diketuai oleh ASEAN dalam perkara ini.
Thailand dan Kemboja pada Isnin bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta selepas menghadiri mesyuarat khas di Putrajaya.
Dalam pertemuan itu, pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai dan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet mengesahkan komitmen mereka terhadap usaha meredakan konflik dan bersetuju melaksanakan gencatan senjata mulai 2400 malam (waktu tempatan) pada 28 Julai 2025, sekali gus menamatkan pertempuran bersenjata selama lima hari di kawasan sempadan yang dipertikaikan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial