DUNIA > BERITA

Dua Rakyat Malaysia Meninggal Dunia Di Wilayah Yala

03/08/2025 06:04 PM

YALA, 3 Ogos (Bernama) -- Konsulat Malaysia di Songkhla mengesahkan bahawa dua rakyat Malaysia meninggal dunia dalam dua kejadian berasingan di wilayah Yala, Thailand, pada Sabtu. 

Menurut kenyataan konsulat, kes pertama melibatkan seorang lelaki warga Malaysia berusia 56 tahun dari Kedah yang meninggal dunia di Betong, manakala kes kedua membabitkan seorang lelaki berusia 47 tahun dari Pulau Pinang yang maut dalam kemalangan jalan raya di daerah Yaha.

Ketua Pegawai Penyiasat Polis Betong, Inspektor Pornchai Shunual memaklumkan bahawa mangsa berusia 56 tahun itu memasuki Betong bersama isterinya pada 1 Ogos untuk menyertai program “OK BETONG Bike Week”.

"Menurut isterinya, mangsa rebah di dalam tandas ketika berhenti rehat dan tidak sedarkan diri. Dia dikejarkan ke Hospital Betong namun disahkan meninggal dunia kira-kira setengah jam kemudian," katanya kepada pemberita hari ini.

Kematian mangsa diklasifikasi sebagai mati mengejut dan tiada unsur jenayah dikesan, menurut hasil bedah siasat.

Polis Diraja Thailand membenarkan waris menuntut jenazah untuk dibawa pulang ke Kulim, Kedah, dengan bantuan Konsulat Malaysia di Songkhla.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, Konsulat Malaysia melaporkan seorang lagi lelaki rakyat Malaysia maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda milik penduduk tempatan di daerah Yaha, petang Sabtu.

Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Jenazah telah dibawa dari Hospital Yaha ke Hospital Sadao, Songkhla, sebelum dituntut waris untuk dibawa pulang ke Pulau Pinang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan