DUNIA > BERITA

Masih Ada 42 Harimau Sumatera Di Bengkulu Dengan Usaha Pemuliharaan Berterusan

04/08/2025 08:08 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 4 Ogos (Bernama) -- Sekurang-kurangnya 42 ekor harimau Sumatera (Panthera tigris sumatrae) dikesan masih ada dan merayau-rayau di hutan wilayah Bengkulu di pantai barat Sumatera, menurut agensi pemuliharaan Indonesia.

Walaupun kemunculan harimau-harimau ini memberi harapan, hasil kajian lapangan dari 2020 hingga pertengahan 2025 turut menimbulkan kebimbangan berikutan ancaman berterusan seperti pemburuan haram dan penebangan hutan yang terus mengancam spesies itu, menurut Balai Konservasi Sumber Daya Alam (BKSDA) Bengkulu-Lampung.

Menurut agensi itu, pihaknya bersama organisasi rakan kerjasama telah mengesan keberadaan harimau-harimau berkenaan di kawasan Bukit Balai Rejang Selatan, Seblat dan Bukit Balai Rejang menerusi kamera perangkap dan rekod rondaan.

“Kami merekodkan 1,860 foto daripada 16 kamera perangkap sepanjang 52 hari di Seblat antara Mac dan Mei tahun ini,” kata Ketua BKSDA Bengkulu-Lampung, Himawan Sasongko dalam satu kenyataan.

Rakaman berkenaan menunjukkan aktiviti harimau di kawasan Air Rami, Lebong Kandis dan Ipuh I, selain kemunculan spesies liar lain seperti tenuk, kijang, rusa sambar, gajah Sumatera, harimau dahan, kucing emas dan anjing hutan.

“Penemuan ini mengesahkan bahawa Seblat merupakan habitat penting bagi harimau Sumatera serta pelbagai spesies lain yang memainkan peranan dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem,” katanya.

BKSDA bersama kerajaan tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan akan meneruskan sesi Perbincangan Kumpulan Fokus (FGD) bagi mengesahkan ketepatan data dan merancang langkah pemuliharaan akan datang.

Usaha pemantauan ini turut mencerminkan komitmen bersama dalam memelihara habitat semula jadi harimau Sumatera serta meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan pemuliharaan hutan dan hidupan liar, kata Himawan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan