Oleh Shakir Husain
NEW DELHI, 5 Ogos (Bernama) -- India pada Isnin memberi respons terhadap kenyataan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berhubung tarif, ekoran kebimbangan mengenai pembelian minyak dari Rusia secara berterusan oleh India.
Trump, yang sebelum ini mengumumkan tarif 25 peratus ke atas India, menyatakan pada Isnin bahawa beliau akan “meningkatkannya secara ketara” kerana pembelian itu disifatkan menyokong kempen ketenteraan Rusia ke atas Ukraine.
Kementerian Hal Ehwal Luar India menegaskan bahawa Amerika Syarikat bersikap dwistandard apabila meminta India menghentikan import minyak Rusia, sedangkan Washington sebelum ini menggalakkan pembelian itu dan pada masa sama menjalankan perdagangan dengan Rusia.
“Import oleh India bertujuan memastikan kos tenaga yang stabil dan mampu milik untuk pengguna domestik. Ia adalah satu keperluan berdasarkan situasi pasaran global.
“Namun amat ketara bahawa negara-negara yang mengkritik India turut melakukan perdagangan dengan Rusia,” menurut kenyataan kementerian itu.
India menyifatkan tindakan menyasarkan negaranya sebagai “tidak wajar dan tidak munasabah”, serta menegaskan akan mengambil segala langkah perlu bagi melindungi kepentingan negara dan keselamatan ekonomi.
Kenyataan itu turut menyentuh sekatan perdagangan terbaharu oleh Kesatuan Eropah terhadap Rusia, khususnya yang menyasarkan loji penapisan minyak milik syarikat tenaga Rusia, Rosneft di barat India.
“India telah menjadi sasaran Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah kerana mengimport minyak dari Rusia selepas tercetusnya konflik,” menurut kenyataan itu.
Dalam satu hantaran di Truth Social pada Isnin, Trump mendakwa India bukan sahaja membeli minyak Rusia dalam jumlah besar, tetapi turut menjual sebahagian besar minyak itu di pasaran terbuka bagi meraih keuntungan tinggi.
Beliau juga menuduh India tidak menghiraukan jumlah kematian rakyat Ukraine akibat serangan tentera Rusia.
India sebaliknya menegaskan bahawa Kesatuan Eropah mencatat perdagangan dua hala bernilai 67.5 bilion euro (RM331 bilion) dalam bentuk barangan dan 17.2 bilion euro dalam bentuk perkhidmatan bersama Rusia pada 2024.
Ia turut mendakwa bahawa import gas asli cecair (LNG) Eropah dari Rusia bagi 2024 ialah sebanyak 16.5 juta tan, mengatasi rekod tertinggi sebelumnya sebanyak 15.21 juta tan pada 2022.
“Bagi Amerika Syarikat pula, mereka masih mengimport uranium heksafluorida dari Rusia untuk industri nuklear, paladium untuk kenderaan elektrik (EV), baja serta pelbagai bahan kimia lain,” menurut kenyataan Kementerian Luar India.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial