DUNIA > BERITA

Laos Teroka Tenaga Nuklear Dengan Sokongan Rusia

04/08/2025 03:11 PM

PHNOM PENH, 4 Ogos (Bernama) -- Laos kini beralih kepada teknologi tenaga nuklear Rusia bagi memacu sektor tenaga domestiknya, yang merupakan antara sumber pendapatan utama negara.

Lawatan Presiden Laos, Thongloun Sisoulith ke Moscow baru-baru ini menyaksikan kedua-dua negara bersetuju untuk merangka pelan hala tuju pembangunan tenaga nuklear Laos, selain beberapa perjanjian dua hala lain yang turut dimeterai.

“Satu daripadanya ialah pelan hala tuju kerjasama dalam sektor nuklear antara perbadanan nuklear Rusia, Rosatom dan Kementerian Perdagangan dan Perindustrian Laos,” lapor Agensi Berita Rusia, TASS, namun tiada butiran lanjut didedahkan.

Presiden Thongloun berada di Rusia dari 30 Julai hingga 1 Ogos atas jemputan Presiden Rusia, Vladimir Putin.

Akhbar Vientiane Times pada Isnin melaporkan bahawa kedua-dua pihak telah menandatangani perjanjian untuk melaksanakan program tenaga nuklear itu.

“Inisiatif ini hadir tepat pada masanya ketika Laos sedang berusaha mempelbagaikan sumber tenaga melalui penggunaan tenaga nuklear secara aman, sebagai alternatif kepada kebergantungan terhadap tenaga hidro,” lapor akhbar itu.

Kini, sekurang-kurangnya 80 peratus bekalan elektrik Laos dijana melalui loji hidroelektrik.

Ekonomi Laos banyak bergantung kepada sektor pertanian, pelancongan, penjanaan tenaga, perlombongan, pembuatan dan pengangkutan.

Langkah mempelbagaikan sumber tenaga itu juga penting susulan tindakan Amerika Syarikat mengenakan tarif sebanyak 40 peratus ke atas eksport Laos, yang dijangka memberi kesan kepada ekonominya.

Digelar “bateri Asia”, Laos kini berusaha muncul sebagai pemain utama tenaga di rantau ASEAN dan kini mengeksport tenaga elektrik ke Thailand dan Kemboja.

Tahun lalu, negara itu memperoleh kira-kira RM4 bilion (US$980 juta) hasil daripada eksport tenaga elektrik.

Laos juga merupakan sebahagian daripada Rangkaian Grid Tenaga ASEAN (ASEAN Power Grid), satu inisiatif serantau yang diperuntukkan untuk integrasi sepenuhnya menjelang 2045.

Inisiatif itu bertujuan membekalkan tenaga mampu milik kepada kira-kira 670 juta penduduk Asia Tenggara.

Menurut Agensi Tenaga Antarabangsa, tenaga Laos ketika ini terdiri daripada 38.9 peratus arang batu, 35 peratus hidroelektrik, 16.5 peratus bahan api biologi dan sisa, serta 9.5 peratus minyak.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan