DUNIA > BERITA

Kematian "Pele Palestin", Salah Kritik Ucapan Takziah UEFA

10/08/2025 06:42 PM

ISTANBUL, 10 Ogos (Bernama-Anadolu) -- Bintang bola sepak Mesir, Mohamed Salah pada Sabtu membantah sikap berdiam diri Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) berhubung kematian seorang bekas pemain pasukan kebangsaan Palestin akibat serangan Israel ketika menunggu bantuan kemanusiaan di Gaza, lapor  Anadolu Ajansi (AA).

Suleiman al-Obaid terbunuh pada Rabu ketika genosid oleh Israel di Gaza memasuki tahun kedua.

Ketika mengumumkan pemergiannya, UEFA menulis: "Selamat tinggal Suleiman al-Obaid, "Pele Palestin." Bakat yang memberi harapan kepada ramai kanak-kanak, walaupun pada waktu yang paling sukar" – tetapi tidak menyebut langsung bagaimana beliau meninggal dunia.

Salah secara lantang mengkritik ucapan perpisahan UEFA kepada Al-Obaid, dengan berkata: "Bolehkah anda beritahu kami bagaimana, di mana dan mengapa beliau meninggal dunia?"

Menurut pegawai Palestin, lebih 800 atlet telah terbunuh di Gaza sejak bermulanya serangan Israel pada 7 Okt 2023, ketika komuniti sukan terus menderita akibat pengeboman, kebuluran, dan kemusnahan infrastruktur.

Antara mangsa terbaharu ialah al-Obaid, yang terbunuh ketika menunggu bantuan kemanusiaan – satu kejadian biasa di bawah skim bantuan kontroversi yang disokong Israel dan AS yang disifatkan oleh pengkritik sebagai "perangkap maut."

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sekurang-kurangnya 1,373 rakyat Palestin telah terbunuh sejak 27 Mei ketika cuba mendapatkan makanan di bawah skim itu manakala Israel menyekat kumpulan bantuan lain daripada memasuki Gaza.

Persatuan Bolasepak Palestin dalam satu kenyataan berkata: “Bekas pemain pasukan kebangsaan Suleiman al-Obaid telah syahid dalam serangan oleh pasukan pendudukan ketika menunggu bantuan kemanusiaan di Semenanjung Gaza.”

Al-Obaid, 41, yang dilahirkan di Gaza dan bapa kepada lima anak, dianggap sebagai seorang daripada bintang paling bersinar dalam sejarah bola sepak Palestin. Beliau bermain dalam 24 perlawanan rasmi untuk pasukan kebangsaan dan menjaringkan dua gol.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan