DUNIA > BERITA

Urusan Menjadi Anggota Tetap ASEAN Makin Hampir Untuk Timor-Leste

16/08/2025 05:52 PM

SEREMBAN, 16 Ogos (Bernama) -- Proses keanggotaan tetap Timor-Leste dalam ASEAN kini berada di peringkat dokumentasi sebelum diterima secara rasmi sebagai anggota penuh pada Sidang Kemuncak ASEAN Oktober ini.

"Pada sidang kemucak ASEAN Oktober nanti, akan diadakan satu upacara untuk menerima Timor-Leste sebagai ahli tetap ASEAN, Sekarang ini di peringkat dokumentasi sahaja,” kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan kepada pemberita hari ini.

“Kebanyakan peraturan Timor-Leste telah patuhi...kita putuskan agar mereka diterima dahulu sebagai ahli tetap, kemudian ASEAN akan bantu mereka dalam melengkapkan proses dokumentasi yang masih belum dipenuhi,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan perasmian serentak mesyuarat wanita, pemuda dan puteri UMNO Bahagian Rembau di sini hari ini.

ASEAN mengulangi komitmennya untuk menerima Timor-Leste sebagai negara anggota ke-11 pada Sidang Kemuncak ke-47 blok serantau itu yang bakal berlangsung pada Oktober ini, selaras dengan keputusan yang dibuat pada sidang kemuncak sebelum itu.

Dalam Kenyataan Bersama Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 pada 9 Julai, para menteri menyatakan komitmen untuk menyokong Timor-Leste dalam mempercepat penyertaannya ke dalam perjanjian-perjanjian ekonomi utama ASEAN bagi memudahkan integrasi sepenuhnya ke blok serantau itu.

“Kami menantikan Timor-Leste melaksanakan peranan dan tanggungjawabnya sebagai bakal negara anggota serta komitmennya untuk menegakkan prinsip-prinsip asas ASEAN,” menurut kenyataan itu.

Timor-Leste, negara termuda di Asia Tenggara, memohon keahlian ASEAN pada 2011, sembilan tahun selepas mencapai kemerdekaan pada 20 Mei 2002.

Walaupun prosesnya panjang dan mencabar, Dili menunjukkan komitmen tinggi dalam memenuhi syarat keahlian yang ketat.

Pada Februari lalu, Malaysia mengumumkan sumbangan sebanyak US$200,000 kepada Unit Timor-Leste di Sekretariat ASEAN di Jakarta bagi mempercepat proses keahlian penuh.

Malaysia turut menyediakan latihan teknikal menerusi Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP), yang melatih 319 pegawai Timor-Leste dalam pelbagai bidang setakat ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan