KYIV, 16 Ogos (Bernama-dpa) -- Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky, akan berkunjung ke Washington pada Isnin bagi mengadakan perbincangan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, umum Zelensky pada Sabtu pagi melalui Telegram selepas panggilan telefon dengan Trump, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
“Saya berhasrat membincangkan semua butiran mengenai penamatan pembunuhan dan penamatan perang dengan Presiden Trump di Washington pada Isnin,” tulis Zelensky di Telegram, merujuk kepada pencerobohan Rusia ke atas negaranya.
Beliau berkata beliau menyokong cadangan Trump untuk mengadakan mesyuarat tiga hala dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin. “Ukraine menekankan bahawa isu-isu utama boleh dibincangkan di peringkat kepimpinan, dan format tiga hala adalah sesuai untuk ini,” tambahnya.
Zelensky turut mencadangkan penyertaan wakil Eropah, khususnya berhubung isu jaminan keselamatan untuk negaranya.
Zelensky dan Trump sebelum ini mengadakan perbualan telefon selama kira-kira sejam. Pemimpin Eropah kemudiannya disambungkan ke perbualan itu, menjadikan tempoh keseluruhan lebih satu jam setengah.
Trump memaklumkan Zelensky dan para pemimpin Eropah mengenai “isu utama perbincangan” dengan Putin.
-- BERNAMA-dpa
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial