WASHINGTON, 19 Ogos (Bernama-Xinhua) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menjadi tuan rumah kepada Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy dan tujuh pemimpin Eropah di Rumah Putih pada Isnin, dengan tumpuan untuk menyelesaikan krisis Ukraine, lapor Xinhua.
Trump terlebih dahulu mengadakan pertemuan dua hala dengan Zelenskyy.
Ketika menjawab soalan pemberita bersama pemimpin Ukraine itu, Trump berkata beliau percaya Presiden Rusia Vladimir Putin mahu konflik itu berakhir, dan beliau akan bekerjasama dengan Ukraine dan semua pihak untuk memastikan keamanan berkekalan.
Trump berkata kemajuan sedang dicapai dalam menyelesaikan krisis Ukraine dan akan ada jaminan keselamatan seperti yang diminta oleh Ukraine.
Zelenskyy berkata beliau menyokong idea untuk menamatkan konflik melalui cara diplomatik dan beliau bersedia untuk pertemuan tiga pihak.
Pemimpin Eropah -- Setiausaha Agung NATO Mark Rutte, Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula Von der Leyen, Perdana Menteri Britain Keir Starmer, Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni, Presiden Finland Alexander Stubb, Canselor Jerman Friedrich Merz dan Presiden Perancis Emmanuel Macron – menyertai rundingan pelbagai hala selepas pertemuan dua hala itu.
Dalam ucapan kepada media bersama pemimpin lain, Trump berkata Putin bersetuju menerima jaminan keselamatan untuk Ukraine dan mahu mencari penyelesaian.
Zelenskyy menegaskan bahawa Ukraine berbesar hati sekiranya Trump dapat menghadiri kemungkinan pertemuan tiga pihak bersama beliau dan Putin.
Pemimpin Ukraine itu berkata perkara sensitif, termasuk isu wilayah, akan dibincangkan pada pertemuan tiga pihak itu.
Trump berkata pertemuan tiga pihak itu perlu diadakan "secepat mungkin."
Pemimpin Eropah menyokong idea gencatan senjata, dengan menyatakan bahawa beberapa kemajuan boleh dicapai mengenai jaminan keselamatan untuk Ukraine.
"Saya tidak dapat membayangkan pertemuan seterusnya akan berlangsung tanpa gencatan senjata," kata Merz.
Macron mencadangkan idea pertemuan empat pihak yang turut melibatkan wakil Eropah, dengan berkata "apabila kita bercakap mengenai jaminan keselamatan, kita bercakap tentang keseluruhan keselamatan benua Eropah."
Menurut laporan media, Trump menghentikan perbincangannya dengan pemimpin Eropah untuk menghubungi Putin.
"Pada akhir pertemuan itu, saya menghubungi Presiden Putin dan memulakan persiapan untuk satu pertemuan di lokasi yang akan ditentukan antara Presiden Putin dan Presiden Zelenskyy. Selepas pertemuan itu berlangsung, kita akan adakan pertemuan tiga pihak yang akan melibatkan kedua-dua Presiden, serta saya sendiri," tulis Trump di platform Truth Social.
Pertemuan pada Isnin itu berlangsung selepas Trump dan Putin bertemu selama hampir tiga jam di negeri Alaska, AS pada Jumaat. Tiada persetujuan dicapai daripada pertemuan pada Jumaat itu.
-- BERNAMA-XINHUA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial