DUNIA > BERITA

China, Malaysia Komited Perkasa Kerjasama Dalam Pelbagai Bidang

03/09/2025 01:44 PM

BEIJING, 3 Sept (Bernama-CMG) -- China-Malaysia perlu memperdalam kerjasama strategik secara menyeluruh, saling menyokong kepentingan teras masing-masing dan bersama-sama membina pusat pembangunan berkualiti tinggi serantau.

Perkara itu dinyatakan Presiden China, Xi Jinping ketika mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Besar Rakyat di Beijing pada malam Selasa.

Lawatan Anwar ke China bersempena Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) 2025 dan upacara Memperingati Ulang Tahun ke-80 Kemenangan Perang Rakyat China Menentang Pencerobohan Jepun dan Perang Anti-Fasis Dunia.

Xi turut mencadangkan kedua-dua negara agar memfokuskan kerjasama kepada industri baharu seperti kecerdasan buatan, tenaga baharu dan semikonduktor, serta memastikan kemajuan projek penting seperti "Dua Negara Dua Taman" dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Selain itu, usaha perlu dilakukan untuk mengekalkan Dialog Peradaban Konfusianisme dan Islam bagi mempererat ikatan kemanusiaan, memperhebat solidariti dan kolaborasi  pelbagai hala, mendorong pembentukan komuniti berkongsi nasib antara China dan ASEAN, mempertahankan keadilan dan kesaksamaan antarabangsa, serta menjaga kepentingan bersama Selatan Global. 

Sementara itu, Anwar menyifatkan Inisiatif Tadbir Urus Global yang baru sahaja dikemukakan Presiden Xi mengandungi konsep yang maju serta penyelesaian masalah yang praktikal, serta amat penting untuk meningkatkan tahap tadbir urus global.

Beliau berkata, pihaknya menghargai perkongsian strategik yang istimewa antara Malaysia dan China, serta bersedia untuk memperkasa kerjasama dalam pelbagai bidang demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara.

-- BERNAMA-CMG  

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan