DUNIA > BERITA

400 Tetamu Meriahkan Sambutan Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia Di Riau

19/09/2025 06:28 PM

JAKARTA, 19 Sept (Bernama) -- Konsulat Malaysia di Pekanbaru, Riau meraikan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 pada Khamis malam dengan meriah, dihadiri kira-kira 400 tetamu termasuk pelajar serta diaspora Malaysia. 

Tetamu terdiri daripada Gabenor Riau Abdul Wahid, Ketua Polis Riau Herry Heryawan, pemimpin akademik dari Universitas Riau, Universitas Islam Negeri Sultan Syarif Kasim dan Universitas Muhammadiyah.

Konsul Mohammed Hosnie Shahiran Ismail berkata hubungan Malaysia dengan Riau dan Kepulauan Riau diperkukuh tahun ini menerusi lawatan rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun pada Jun serta Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Ogos.

Beliau mengajak rakyat Malaysia terus memainkan peranan mengeratkan hubungan dengan rakyat tempatan dan mengundang lebih ramai warga Riau melancong ke Malaysia menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Lebih dua juta rakyat Indonesia melawat Malaysia pada 2024 bagi mendapatkan perkhidmatan kesihatan,” katanya, menurut kenyataan konsulat.

Gabenor Riau Abdul Wahid dalam ucapan balas menegaskan Malaysia dan Indonesia, khususnya Provinsi Riau, bukan sahaja berdekatan secara geografi malah berkongsi sejarah, budaya dan nilai Melayu yang rapat.

“Hubungan ini lebih daripada sekadar maklumat, sebaliknya persaudaraan yang subur di sektor perdagangan, pendidikan, kebudayaan dan interaksi,” katanya.

Beliau turut memaklumkan Malaysia muncul sebagai pelabur asing kedua terbesar di Riau dengan nilai pelaburan berjumlah US$520 juta melalui 224 projek.

Majlis dimeriahkan dengan persembahan tarian oleh Kumpulan Dazzle Dancers daripada Sekolah Kebangsaan Bukit Bandaraya, Kuala Lumpur, serta nyanyian lagu “Gurindam Jiwa” oleh pelajar tempatan Alfariz Halek Putra daripada Sekolah Menengah Pertama Islam As-Shofa.

Seramai 20 anak yatim daripada Panti Asuhan Fajar Harapan dan 30 ahli Paguyuban Sosial Marga Tionghoa Indonesia turut diraikan.

Konsulat Malaysia di Pekanbaru, yang beroperasi sejak 1983, bertanggungjawab menjaga kepentingan Malaysia di wilayah Riau dan Kepulauan Riau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan