DUNIA > BERITA

Malaysia Seru Isu Thailand-Kemboja Dibawa Ke Meja Rundingan JBC

19/09/2025 11:28 PM

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru agar segala isu yang masih belum selesai berkaitan ketegangan antara Thailand dan Kemboja dibawa ke meja rundingan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Bersama (JBC).

Anwar berkata Malaysia percaya bahawa semangat dialog, diplomasi dan persefahaman sesama rakan ASEAN merupakan jalan terbaik untuk menyelesaikan sebarang bentuk pertikaian.

Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri selepas menghubungi rakan sejawat beliau dari Kemboja menerusi panggilan telefon semalam.

"Semalam, saya turut berkesempatan bercakap dengan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet bagi mendapatkan gambaran serta perkembangan terkini di sempadan Thailand-Kemboja.

“Saya menyeru agar segala isu yang masih belum selesai dibawa ke meja rundingan melalui JBC,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu, Anwar memaklumkan Malaysia telah mengadakan perbincangan lanjut dengan kedua-dua pemimpin negara itu susulan ketegangan yang berlaku.

Media sebelum ini melaporkan Perdana Menteri Kemboja mendakwa tentera Thailand menghalang lebih 20 keluarga kembali ke rumah mereka di kawasan sempadan yang dipertikai, seperti dinyatakan dalam surat beliau kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Jurucakap tentera Thailand Winthai Suvaree pula mendakwa penduduk Kemboja telah terlibat dalam insiden keganasan dan mencetuskan kekecohan dengan sengaja, selain bertindak menduduki wilayah Thailand secara haram.

Thailand dan Kemboja sebelum ini telah mencapai persetujuan untuk melaksanakan gencatan senjata pada Julai dengan Malaysia sebagai mediator, selepas pertempuran berlaku antara kedua-dua negara yang mengorbankan 33 nyawa. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan