Daripada Muhammad Faiz Baharin
NEW YORK, 26 Sept (Bernama) -- Malaysia telah menyalurkan lebih RM70 juta (US$17 juta) dalam bentuk bantuan kewangan dan kemanusiaan kepada Palestin sejak 2024, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Berucap pada Mesyuarat Peringkat Menteri bagi menyokong Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk pelarian Palestin (UNRWA) yang diadakan di luar Sesi ke-80 Perhimpunan Agung PBB (UNGA) di sini pada Khamis, Mohamad berkata sumbangan itu disalurkan melalui Tabung Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin.
Beliau berkata Malaysia akan menyalurkan tambahan US$25 juta (RM105 juta) dalam bentuk bantuan kemanusiaan serta pembinaan semula Gaza sebagai tanda komitmen berterusan negara untuk menyokong rakyat Palestin.
“Kita bersedia bekerjasama dengan PBB dan negara-negara sehaluan dalam usaha kolektif menambah baik bekalan bantuan kemanusiaan, selain menyokong usaha pembinaan semula Gaza pada masa hadapan,” katanya.
Mohamad turut menyampaikan penghargaan Malaysia terhadap usaha gigih dan berterusan yang dilaksanakan UNRWA dalam menyokong pelarian Palestin.
“UNRWA kekal sebagai talian hayat bagi pelarian Palestin di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat, serta di Jordan, Lubnan dan Syria.
“Malaysia akan terus menyokong mandat UNRWA dalam menyediakan bantuan dan perlindungan kepada pelarian Palestin,” katanya.
Beliau turut menggesa negara-negara anggota PBB supaya menunaikan tanggungjawab mereka dalam menyokong usaha UNRWA, serta memastikan penyampaian bantuan kemanusiaan penting di Gaza tidak terganggu.
“Malaysia akan terus bekerjasama dengan rakan seperti Jordan dan Mesir, serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam hal ini,” kata beliau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial