DUNIA > BERITA

Indonesia Usaha Memudah Cara Eksport Tuna Sifar Tarif Ke Jepun Di Bawah IJEPA

18/01/2026 11:52 PM

JAKARTA, 18 Jan (Bernama) -- Indonesia mengambil langkah besar untuk merangsang eksport makanan lautnya dengan menghapuskan tarif ke atas produk tuna dan cakalang ke Jepun di bawah Perjanjian Perkongsian Ekonomi Indonesia-Jepun (IJEPA) yang telah dipinda.

Pemangku Ketua Pengarah Pengukuhan Daya Saing Produk Marin dan Perikanan, Machmud berkata tarif sifar peratus itu terpakai bagi produk tuna, cakalang dan tongkol.

Beliau berkata Kementerian Hal Ehwal Marin dan Perikanan bersedia untuk memudah cara unit pemprosesan ikan yang berlesen untuk memanfaatkan akses keutamaan berkenaan.

“Perjanjian yang dipinda itu memenuhi kepentingan Indonesia, termasuk penghapusan empat kategori tarif bagi produk tuna dan cakalang yang diproses,” katanya dalam satu kenyataan.

Machmud berkata sebelum pindaan yang dipersetujui pada 8 Ogos 2024 itu, eksport tuna dalam tin serta produk tuna dan cakalang proses bukan dalam tin dari Indonesia ke Jepun dikenakan tarif sebanyak 9.6 peratus.

Menurutnya, bagi menyokong pelaksanaan itu, kementerian sedang menyediakan pekeliling menteri mengenai ratifikasi IJEPA yang akan menggariskan prosedur permohonan pendaftaran tarif sifar peratus bagi produk terbabit di bawah sistem pengharmonian (HS) Jepun.

Sementara itu, Pengarah Pemasaran PDS, Erwin Dwiyana berkata permohonan untuk fasa pertama pendaftaran IJEPA dibuka sehingga 26 Jan ini.

Tuna dan cakalang merupakan komoditi eksport kedua terbesar Indonesia dengan penguasaan 17 peratus bahagian pasaran. Eksport Indonesia menduduki tempat ketiga dalam pasaran Jepun dengan nilai eksport mencecah US$30.28 juta.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan