DUNIA > BERITA

Thailand Mulakan Usaha Bawa Pulang Rakyat Dari Iran, 69 Orang Bertolak Esok

07/03/2026 12:18 AM

BANGKOK, 6 Mac (Bernama) -- Kementerian Luar Thailand telah memulakan usaha membawa pulang rakyatnya dari Iran, dengan kumpulan pertama seramai 69 orang dijadualkan bertolak dari Tehran esok.

Pemangku Ketua Pengarah Jabatan Penerangan merangkap Timbalan Jurucakap Kementerian Luar Panidone Pachimsawat berkata jumlah rakyat Thailand yang memohon bantuan di Iran meningkat daripada 117 kepada 125 orang.

Beliau berkata usaha membawa pulang itu akan dilaksanakan dalam dua kumpulan melalui perjalanan darat, dengan kumpulan pertama seramai 69 orang dijadualkan bertolak pada 7 Mac ini (Sabtu), manakala kumpulan kedua seramai 56 orang akan bertolak pada 10 Mac (Selasa).

Beliau berkata kumpulan pertama rakyat Thailand itu dijangka tiba di Van, Turkiye pada 7 Mac sebelum menunggu penerbangan pulang ke Thailand dalam tempoh dua atau tiga hari berikutnya.

Kementerian itu turut menggesa rakyat Thailand di Iran yang ingin pulang ke Thailand supaya segera menghubungi Kedutaan Diraja Thailand di Tehran bagi membolehkan dokumen yang diperlukan diselaraskan dengan pihak berkuasa berkaitan dengan segera.

“Bermula esok, Kedutaan Diraja Thailand di Ankara akan menubuhkan pusat operasi sementara di Van, Turkiye bagi memudahkan rakyat Thailand yang dibawa keluar dari Iran untuk pulang ke Thailand. Pusat itu juga akan berfungsi sebagai pejabat sementara bagi Kedutaan Diraja Thailand di Tehran untuk membantu rakyat Thailand yang masih berada di Iran,” katanya.

Beliau menambah bahawa setakat ini tiada laporan mengenai rakyat Thailand yang cedera atau terkorban akibat ketegangan yang semakin memuncak di Timur Tengah.

“Kedutaan dan konsulat jeneral Thailand akan terus memudah cara serta memberikan maklumat kepada rakyat Thailand yang ingin pulang ke tanah air, sambil menyelaras dengan pihak berkuasa berkaitan bagi mempercepat proses dokumentasi,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan