Oleh Nur Atiq Maisarah Suhaimi
KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Itali melihat potensi besar untuk memperkukuh kerjasama dengan Malaysia dalam bidang reka bentuk, pendidikan dan kebudayaan, didorong oleh kekuatan kreatif bersama serta hubungan dua hala yang semakin erat.
Duta Itali ke Malaysia Raffaele Langella berkata Itali, yang sekian lama diiktiraf sebagai peneraju global dalam reka bentuk, melihat Malaysia sebagai antara negara yang semakin menonjol dalam aspek estetika, komposisi warna serta penggabungan tradisi dan inovasi.
“Malaysia dan Itali boleh bersama-sama menetapkan piawaian baharu serta meneroka sempadan baharu. Kita mempunyai banyak persamaan dan terdapat pelbagai peluang yang boleh diterokai bersama,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama sempena Hari Reka Bentuk Itali 2026.
Langella berkata Itali bersedia berkongsi kepakaran dengan rakan kongsi di Malaysia, memandangkan hubungan yang semakin akrab antara kedua-dua negara serta peningkatan ketibaan pelancong Itali menjadikan Malaysia pasaran yang semakin menarik.
“Malaysia semakin popular dan digemari di Itali. Apabila orang ramai melancong, lazimnya barangan akan menyusul, justeru kami menjangkakan peningkatan ketara dalam kerjasama antara syarikat Itali dan Malaysia.
“Peluang memang tersedia. Kami bersedia membantu syarikat Malaysia yang ingin melabur atau mengeksport produk ke Itali kerana terdapat kesesuaian dari segi budaya dan emosi. Kini masanya untuk syarikat memanfaatkan potensi pasaran itu,” katanya.
Kedutaan Itali di Malaysia meraikan Hari Reka Bentuk Itali 2026 edisi ke-10 bertemakan “RE-DESIGN. Regenerating spaces, objects, ideas, relationships”, yang mempamerkan kreativiti, inovasi dan keanggunan Itali, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai platform utama kecemerlangan reka bentuk.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif jenama aksesori motosikal Itali Rizoma, Fabrizio Rigolio berkata Itali dan Malaysia serasi dari segi pendekatan terhadap reka bentuk dan keindahan, khususnya dalam industri motosikal.
“Kami melihat peluang besar di negara ini kerana ia mempunyai kecenderungan terhadap reka bentuk dan menghargai keindahan. Dalam industri motosikal, kami melihat potensi yang besar. Kualitinya setanding dengan Eropah dan mempunyai nilai yang tinggi kepada Itali,” katanya.
Beliau berkata Hari Reka Bentuk Itali yang menghimpunkan pereka, jenama dan peneraju industri, menjadi platform penting untuk menggalakkan kerjasama, menghubungkan pihak berkepentingan serta meneroka peluang baharu termasuk di Asia Tenggara.
Senada dengan pandangan itu, Ketua Institut Reka Bentuk Eropah di Milan, Prof Giacomo Bertolazzi berkata peluang di Asia Tenggara amat luas dan semakin berkembang, serta menyuarakan keyakinan terhadap potensi kerjasama antara Itali, Malaysia dan rantau ini.
“Terdapat revolusi penting yang dibawa oleh reka bentuk di rantau ini dan sepanjang beberapa hari saya berada di Kuala Lumpur, saya melihat Malaysia sebagai negara yang mempunyai keindahan luar biasa. Saya yakin banyak yang boleh dicapai antara Itali, Malaysia dan Asia Tenggara,” katanya.
Mengenai evolusi pendidikan reka bentuk ke arah penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan pembuatan digital, Bertolazzi berkata integrasi AI mempercepatkan proses reka bentuk, namun kreativiti manusia kekal menjadi teras.
“Pada pandangan saya, AI ialah alat yang membantu mempercepatkan proses dan meningkatkan kecekapan, tetapi ia perlu dikendalikan oleh manusia melalui pemikiran kritikal dan proses berfikir.
“Sudah tentu, kami menggunakan AI dalam kursus kami kerana pelajar kini dilahirkan dalam era digital. Namun, kami juga mengekalkan pendekatan tradisional yang menjadikan Itali unik dan penting dalam dunia reka bentuk,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial