LONDON, 3 April (Bernama-Xinhua) -- Setiausaha Agung Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) Arsenio Dominguez berkata pada Khamis ketegangan di Selat Hormuz mesti diredakan, menekankan bahawa pendekatan ketenteraan sahaja tidak berkesan dan penyelesaian maritim praktikal diperlukan untuk menyelesaikan krisis, lapor Xinhua.
Menurut kenyataan media di laman web IMO, Dominguez membuat kenyataan itu semasa mesyuarat maya mengenai situasi di Selat Hormuz, yang dihoskan oleh Pejabat Luar, Komanwel dan Pembangunan serta dihadiri menteri luar dari lebih 40 negara.
Dalam pertemuan itu, Dominguez memberi taklimat kepada peserta tentang usaha berterusan IMO, menggesa negara menyokong inisiatif diplomatik untuk memindahkan kira-kira 20,000 pelaut yang terkandas di Teluk Parsi dan mewujudkan koridor kemanusiaan untuk bantuan segera.
Usai mesyuarat, Dominguez berkata respons yang berpecah-belah tidak lagi mencukupi untuk menyelesaikan krisis. "Apa yang diperlukan segera ialah penglibatan diplomatik, penyelesaian praktikal dan neutral serta tindakan antarabangsa yang diselaraskan," katanya.
Beliau menambah IMO sedang memajukan rangka kerja pemindahan maritim berdasarkan kerjasama antara negara pantai, jaminan keselamatan dan penyelarasan operasi, dengan objektif jelas untuk melepaskan kapal yang terkandas, membolehkan penggantian anak kapal dijalankan dengan selamat dan mencegah bencana alam sekitar.
Sejak tercetusnya konflik pada 28 Feb apabila Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan operasi ketenteraan berskala besar terhadap Iran, IMO telah melaporkan 21 serangan ke atas kapal komersial yang mengakibatkan kematian 10 pelaut dan beberapa yang lain cedera parah.
-- BERNAMA-XINHUA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial