BERLIN, 18 April (Bernama-dpa) -- Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) Mark Rutte menolak spekulasi mengenai kemungkinan Amerika Syarikat (AS) menarik diri daripada perikatan pertahanan itu, dengan menyatakan beliau tidak melihat negara itu akan meninggalkan NATO, lapor agensi berita Jerman dpa.
Bercakap kepada akhbar Die Welt edisi Ahad, beliau turut menegaskan bahawa perlindungan nuklear AS untuk Eropah tidak seharusnya dipersoalkan. Rutte menyifatkan "payung nuklear" AS sebagai jaminan keselamatan utama di Eropah dan percaya perkara itu akan kekal sedemikian.
Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, kenyataan Presiden AS Donald Trump telah mencetuskan kebimbangan bahawa AS mungkin meninggalkan perikatan itu.
Trump sebelum ini mengkritik apa yang disifatkannya sebagai kekurangan sokongan daripada rakan NATO dalam peperangan menentang Iran.
Bagaimanapun, sebarang tindakan untuk menarik diri daripada NATO perlu mendapat kelulusan majoriti dua pertiga Senat AS, yang dianggap sebagai sesuatu yang sangat mustahil untuk berlaku.
Rutte yang bertemu Trump di Rumah Putih minggu lepas berkata, Presiden AS itu "jelas kecewa" dengan beberapa negara anggota perikatan trans-Atlantik itu.
Antara perkara yang menjadi pertikaian termasuk penggunaan pangkalan tentera dan misi untuk mengawal Selat Hormuz. Trump berulang kali menyasarkan kritikan beliau terhadap Sepanyol, Perancis dan United Kingdom.
Rutte memberitahu akhbar berkenaan bahawa beliau memahami kekecewaan Trump. Sehubungan itu, beliau menggesa Eropah supaya memperkukuh industri pertahanan masing-masing, yang menyifatkannya sebagai langkah penting bagi mengekalkan keupayaan pencegahan dan pertahanan.
--BERNAMA-dpa
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial