DUNIA > BERITA

Bertugas Di China, Wartawan Kongsi Makna Pengorbanan  Aidiladha Di Perantauan

27/05/2026 07:06 PM

Daripada Siti Zanariah Nor Zin

(Penulis ialah wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang terpilih mewakili media Malaysia bagi menyertai program fellowship Program Pusat Komunikasi Akhbar China (CIPCC) selama tiga bulan anjuran Persatuan Diplomasi Awam China.)

 

FUYANG (China), 27 Mei (Bernama) -- Sebagai wartawan, hari raya bukan selalu tentang cuti dan peluang berkumpul bersama keluarga tercinta, sebaliknya tanggungjawab menyampaikan berita kepada masyarakat tetap diteruskan walaupun pada hari kebesaran umat Islam seperti Aidiladha.

Bagi beberapa wartawan beragama Islam yang sedang menyertai Program Pusat Komunikasi Akhbar China (CIPCC), Aidiladha tahun ini dirai dalam suasana sederhana bersama penghayatan peribadi, jauh daripada keluarga dan kebiasaan sambutan di tanah air masing-masing.

Walaupun datang daripada pelbagai latar belakang dan negara berbeza, mereka tetap berkongsi semangat sama dalam menyambut hari penting itu, biarpun tanpa suasana meriah, laungan takbir di masjid ataupun beraneka hidangan juadah yang menyelerakan.

Editor Eksekutif dan Ketua Media Digital Daily Ittehad Media Group dan Pakistan Economic Network, Moiz Farooq berkata menyambut Aidiladha di perantauan buat kali pertama memberikannya satu pengalaman yang berbeza dan menginsafkan. 

“Ini kali pertama saya menyambut Aidiladha jauh dari tanah air sendiri, dan di China bersama rakan Muslim saya dari Malaysia, Indonesia dan dari pelbagai pelosok dunia.

Pengalamannya  sangat menginsafkan tetapi saya rasa hebat. Kemesraan dan persahabatan membuatkan saya merasa seperti berada di rumah sendiri biarpun jauh dari tempat asal saya, katanya.

Beliau berkata wartawan, seperti profesion lain termasuk doktor, juga perlu terus bekerja dan berada di lapangan tanpa mengira musim perayaan untuk membuat liputan pelbagai perkembangan di seluruh dunia.

Wartawan MetroTV Indonesia, Nadia Ayu Soraya pula berkata kehadiran beberapa peserta Muslim lain dari pelbagai negara sedikit sebanyak mengubat kerinduan terhadap suasana hari raya di tanah air.

Beliau berkata, Kerajaan China serta rakan wartawan lain yang tidak menyambut Aidiladha juga menunjukkan sikap memahami dan memberi layanan mesra sepanjang berada di negara itu.

“Dalam setiap tugasan kita juga belajar. Di sini bekerja dan banyak berita dihantar ke Jakarta. Ini juga satu bentuk pengorbanan yang kita lakukan kepada negara,” katanya.

Seorang lagi wartawan, Eka Prasetya Kusuma Negara dari Jawa Pos Radar Bali, Indonesia, mengakui Aidiladha kali ini agak berbeza kerana tidak dapat bersama keluarga serta menyempurnakan ibadah korban yang telah dirancang lebih awal di kampung halaman.

Eka berkata beliau sepatutnya melaksanakan ibadah korban di Bali selepas membuat persiapan hampir setahun lalu, namun tugasan ke China menyebabkan rancangan itu terpaksa ditangguhkan.

“Pengorbanan lain semasa bekerja harus tetap bekerja, itulah pengorbanan saya lakukan saat ini ketika Aidiladha,” katanya.

Beliau berkata, walaupun sambutan Aidiladha akan lebih bermakna jika diraikan bersama keluarga,  pengalaman berkumpul dan menikmati hidangan bersama rakan wartawan lain sepanjang mengikuti program tiga bulan itu di China akan menjadi kenangan indah dan berharga baginya. 

Sementara itu, bagi penulis, Aidiladha kali ini membawa pengertian yang amat mendalam buat diri sendiri.

“Beraya jauh di perantauan membawa makna yang berbeza. Setiap orang berkorban dengan cara yang berbeza.

Sebagai seorang wartawan, saya melihatnya sebagai satu amanah yang harus terus digalas di mana jua demi membawa cerita dan suara kepada masyarakat,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan