DUNIA > BERITA

Hari Keluarga Malaysia Di Kemboja Lambang Semangat Muhibbah

07/06/2026 12:13 PM

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 7 Jun (Bernama) -- Hari Keluarga Malaysia pada Sabtu menghimpunkan keluarga dan komuniti dalam suasana meriah, sekali gus menjadi sambutan penuh warna-warni yang meraikan budaya dan persahabatan.

Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh menganjurkan acara bertemakan “Lepak dan Gelak” bagi menyemarakkan semula perpaduan serta mengeratkan hubungan sesama rakyat Malaysia yang bekerja dan menetap di negara itu.

Duta Besar Malaysia ke Kemboja Shaharuddin Onn dalam ucapan alu-aluannya menyeru rakyat Malaysia agar terus mempromosikan Malaysia serta keunikannya kepada masyarakat global.

“Hari Keluarga Malaysia kita bukan sekadar perhimpunan sosial rakyat Malaysia di Kemboja, tetapi mencerminkan identiti dan rasa kebersamaan kita sebagai rakyat Malaysia. 

"Hari Keluarga ini memperlihatkan apa itu Malaysia dan siapa rakyat Malaysia.

“Ia mencerminkan Malaysia, tempat masyarakat pelbagai kaum, budaya dan agama hidup dalam semangat muhibbah, perpaduan dan keharmonian sebagai rakyat Malaysia sejati,” kata Shaharuddin.

Meskipun cuaca panas terik, rakyat Malaysia hadir dengan semangat patriotik bagi memeriahkan acara yang diadakan di Coconut Park, Diamond Island, Phnom Penh, berlatarbelakangkan keindahan Sungai Tonle Sap.

Seperti kelaziman keramahan rakyat Malaysia, hari keluarga itu meraikan semua tetamu yang hadir.

Gerai makanan yang mengetengahkan masakan Malaysia, karaoke, permainan, senaman Zumba, lukisan potret dan seni belon menceriakan pengunjung dewasa serta kanak-kanak.

Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh sekali lagi berjaya menganjurkan acara yang meninggalkan kenangan manis, menyantuni rakyat Malaysia, rakyat Kemboja dan tetamu antarabangsa dengan keramahan Malaysia yang mesra.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan