DUNIA > BERITA

Tempahan Hotel AS Kurang Memberangsangkan Menjelang Piala Dunia 2026 - Laporan

09/06/2026 07:41 PM

ISTANBUL, 9 Jun (Bernama-Anadolu) -- Menjelang Piala Dunia FIFA 2026 yang bermula hujung minggu ini, hotel di Amerika Syarikat (AS) menunjukkan prestasi kurang memberangsangkan berbanding hotel di Kanada dan Mexico, meskipun menganjurkan kebanyakan perlawanan, lapor Anadolu Ajansi (AA), memetik The Wall Street Journal.

Tempahan hotel di Kanada dan Mexico mengatasi hampir semua bandar tuan rumah AS menjelang kejohanan utama FIFA itu, yang bermula pada Khamis di 16 bandar di Amerika Utara.

Menurut CoStar, Vancouver dan Guadalajara mendahului dalam penghunian hotel pada 48 peratus.

Toronto, Mexico City dan Monterrey juga telah melebihi 40 peratus penuh manakala San Francisco ialah satu-satunya bandar tuan rumah AS yang mencapai tahap pada 44 peratus.

Walaupun sesetengah pengendali hotel AS melaporkan kadar bilik yang sihat, destinasi di Kanada dan Mexico mendapat manfaat daripada beberapa kelebihan, termasuk semangat bola sepak tempatan yang lebih kuat dan secara amnya kos perjalanan yang lebih rendah.

Sementara itu, menghadiri perlawanan di AS menjadi semakin mahal.

Harga tiket untuk Piala Dunia tahun ini telah meningkat ke nilai tertinggi dengan beberapa tiket yang dijual semula untuk perlawanan akhir telah mencecah lebih US$20,000 setiap satu, menurut TicketData.

Perbelanjaan perjalanan juga meningkat dengan mendadak.

Di samping itu, kebimbangan mengenai keperluan visa dan persepsi tentang persekitaran politik yang tidak disenangi di AS kurang menggalakkan buat sebahagian peminat antarabangsa untuk membuat perjalanan.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan