DUNIA > BERITA

Pengadil Somalia Dihalang Ke Piala Dunia Dapat Sambutan Wira

10/06/2026 09:08 PM

MOGADISHU (Somalia), 10 Jun (Bernama-Anadolu) -- Pengadil bola sepak Somalia Omar Artan menerima sambutan wira sekembalinya ke tanah air selepas dinafikan kemasukan ke Amerika Syarikat (AS), keputusan yang menghalangnya daripada merasmikan Piala Dunia FIFA 2026, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Pegawai kanan kerajaan, termasuk Menteri Sukan Mohamed Abdulkadir Ali, Menteri Pertahanan Ahmed Moalim Fiqi dan pegawai kanan daripada Persekutuan Bola Sepak Somalia menyambutnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Adan Adde di ibu negara Mogadishu pada Rabu.

“Saya boleh berjanji kepada anda, saya akan merasmikan Piala Dunia FIFA akan datang dan saya berterima kasih kepada FIFA, rakyat Somalia atas sokongan mereka,” kata Artan pada sidang akhbar selepas ketibaannya.

Artan sebelum ini ditetapkan untuk menjadi pengadil Somalia pertama yang merasmikan Piala Dunia FIFA.

“Walaupun begitu, saya berada dalam suasana yang positif dan saya fokus pada cabaran seterusnya dalam karier pengadil saya,” katanya dalam satu kenyataan sebelum ini.

Persekutuan Bola Sepak Somalia menggelar perjalanan Artan sebagai "sumber kebanggaan bagi Somalia, CECAFA (Majlis Persatuan Bola Sepak Afrika Timur dan Tengah) dan bola sepak Afrika.

Penolakan untuk beliau memasuki AS mencetuskan kekecohan antarabangsa manakala beberapa peminat bola sepak menggesa boikot Piala Dunia.

Artan baru-baru ini dinamakan sebagai Pengadil Terbaik Afrika untuk 2025 oleh Konfederasi Bola Sepak Afrika.

Pengisytiharan yang dikeluarkan oleh Presiden AS Donald Trump pada 4 Jun 2025, menyekat sepenuhnya kemasukan warga Somalia ke negara itu.

"Kemasukan warga Somalia ke AS sebagai pendatang dan bukan pendatang dengan ini digantung sepenuhnya," menurut pengumuman itu.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan