Oleh Vijian Paramasivam
PHNOM PENH, 21 Jun (Bernama) -- Beberapa rampasan berprofil tinggi melibatkan haiwan terancam dan produk hidupan liar di sempadan Laos dan Thailand mendedahkan kewujudan pasaran gelap yang rancak beroperasi dan mengancam kelangsungan pelbagai spesies di habitat semula jadi mereka.
Pihak berkuasa Laos minggu lalu menyelamatkan sejumlah haiwan serta merampas produk hidupan liar di wilayah Luang Prabang dan Champasak, sekali gus memberi petunjuk bahawa aktiviti penyeludupan hidupan liar masih aktif di rantau itu, menurut laporan The Laotian Times.
" Haiwan-haiwan itu dibawa menggunakan sebuah bas penumpang antarabangsa yang beroperasi antara Pakse dan Bangkok.
"Spesies berkenaan bukan berasal dari Laos dan dipercayai telah diseludup merentasi sempadan," menurut akhbar itu.
Dalam operasi di Luang Prabang, Rangkaian Penguatkuasaan Hidupan Liar Laos menemukan 60 kilogram produk hidupan liar yang disyaki diperoleh secara haram.
Pihak berkuasa merampas objek menyerupai gading, pundi hempedu haiwan, sisik tenggiling serta tanduk badak sumbu.
Turut dirampas ialah kotak mengandungi serbuk kulit gajah, pundi hempedu beruang, kepala burung enggang dan tiub ubat herba yang disyaki mengandungi bahan berasaskan hidupan liar, menurut laporan itu.
Empat hari kemudian, renjer hidupan liar memintas 294 haiwan liar hidup di Pusat Pemeriksaan Antarabangsa Vang Tao di wilayah Champasak yang menghubungkan wilayah Ubon Ratchathani di Thailand.
Haiwan yang dirampas termasuk kura-kura, ular sawa, ular hijau dan biawak.
Pendedahan itu berlaku beberapa minggu selepas seorang wanita Thailand yang mengendalikan kedai ubat tradisional dan cenderamata ditahan di Nakhon Phanom, timur laut Thailand pada 27 Mei.
Penyiasat Thailand merampas lebih 100 bahagian hidupan liar yang dilindungi dan dipercayai diseludup dari Laos.
Sementara itu, menurut hantaran Facebook TRAFFIC Southeast Asia, pihak berkuasa berjaya menumpaskan satu sindiket yang cuba menyeludup 130 kilogram gading gajah yang telah dipotong serta bangkai haiwan di sepanjang sempadan Thailand-Laos pada 16 Mei.
Menurut pakar hidupan liar, Laos berkongsi sempadan dengan Kemboja, China, Myanmar, Thailand dan Vietnam, menjadikannya lokasi strategik bagi aktiviti penyeludupan.
Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) dalam Laporan Jenayah Hidupan Liar Dunia 2024 menegaskan bahawa pemerdagangan haram hidupan liar masih berleluasa dan menjejaskan ribuan spesies haiwan serta tumbuhan di seluruh dunia.
"Pemerdagangan hidupan liar terus berlaku di seluruh dunia walaupun pelbagai usaha bersepadu dilaksanakan di peringkat antarabangsa dan nasional sejak dua dekad lalu," menurut laporan itu.
Ia turut mengenal pasti rasuah sebagai faktor utama yang memudahkan aktiviti penyeludupan hidupan liar.
Menurut UNODC, nilai perdagangan hidupan liar global mencecah hampir US$10 bilion (RM41 bilion), menjadikannya setanding dengan aktiviti pemerdagangan manusia, pengedaran dadah dan perdagangan senjata dari segi keuntungan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial