BERITA PRU15   PH tidak letak syarat bentuk kerajaan negeri - Wan Rosdy | PRU15 Padang Serai: Calon BN teruskan kempen | DUN Tioman: Masyarakat Orang Asli harap masalah air diselesaikan | DUN Tioman: Calon BN bertemu calon PH, bincang strategi kempen | Calon PN Padang Serai beri keterangan kepada polis berhubung kenyataan ‘kerajaan zina’ | 
EKONOMI

DHL Express, MATRADE lancar program kesediaan eksport PMKS pada 2023

25/11/2022 06:24 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- DHL Express serta Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan melancarkan program yang dinamakan “Trade and Grow Beyond Borders” pada suku pertama 2023.

Inisiatif baharu itu untuk meningkatkan kesediaan eksport dalam kalangan perniagaan Malaysia yang menjadi platform untuk menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan bagi mencari permintaan luar yang belum diterokai dan meneroka pasaran luar negara, kata kedua-dua pihak tersebut dalam kenyataan bersama, bersempena dengan Memorandum Persefahaman yang dimuktamadkan oleh kedua-dua pihak hari ini.

Pakar antarabangsa DHL Express dan rangkaian rakan kongsi industrinya akan mengetuai siri latihan modular yang memberi tumpuan kepada globalisasi, daripada pembiayaan dan pemasaran kepada logistik dan e-dagang.

"Ia juga bertujuan untuk menggalakkan kerjasama dalam kalangan khalayak sasaran dan memberikan panduan kepada perniagaan," menurut kenyataan bersama itu.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata agensi berusaha untuk menggalakkan lebih banyak PMKS merebut peluang di luar negara dan meningkatkan jumlah eksport mereka.

“Bagaimanapun, kami menyedari cabaran untuk membawa perniagaan mereka merentasi sempadan dan memahami bagaimana sokongan yang sesuai boleh membuat perbezaan kepada syarikat yang menyasarkan pengembangan antarabangsa.

“Kami boleh membantu mereka membuat lonjakan itu melalui kerjasama kami dengan DHL," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan DHL Express Malaysia dan Brunei Julian Neo berkata program baharu itu meneruskan usaha mereka untuk mengurangkan masalah eksport dengan memanfaatkan kerjasama sektor awam dan swasta selain kepakaran dan keupayaan mereka.

“Sebagai pemudah cara perdagangan global, kami boleh menyumbang kepada kejayaan usahawan tempatan,” katanya. 

Program itu terbuka kepada syarikat yang mengambil bahagian Program Pembangunan Syarikat Peringkat Pertengahan (MTCDP) MATRADE, GlobPreneur Programme serta Program Pembangunan Pengeksport Bumiputera, Wanita dan Belia (BWYEDP).

Terdapat rancangan untuk memperluas skop untuk memasukkan syarikat lain yang berdaftar dengan MATRADE.

Inisiatif “Trade and Grow Beyond Borders” dianjurkan sebagai sebahagian daripada GoTrade, program impak sosial Deutsche Post DHL Group, yang membantu pertumbuhan yang diterajui eksport untuk perusahaan kecil dan sederhana.

Inisiatif itu melengkapkan pemilik perniagaan dengan pengetahuan yang praktikal dan sumber untuk menghadapi masalah penghantaran ke luar negara dan mengakses pasaran asing.

-- BERNAMA

 

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan