EKONOMI > BERITA

MATRADE, EXIM Bank Meterai MoU Bagi Tingkatkan Promosi Perdagangan

20/11/2024 03:51 PM

Daripada Zarul Effendi Razali

DUBAI, 20 Nov (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Export-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM Bank) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bertujuan mengukuhkan kerjasama dalam mempromosikan perdagangan atas dasar kesaksamaan dan faedah bersama.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata perkongsian itu menumpukan kepada membantu syarikat-syarikat yang bersedia untuk mengeksport mendaftar dengan Daftar Pengeksport Malaysia (MER) di bawah MATRADE.

“Matlamatnya adalah untuk meningkatkan aktiviti promosi perdagangan dan menyediakan sokongan yang diperlukan kepada syarikat-syarikat ini untuk berkembang maju di pasaran antarabangsa,” katanya kepada pemberita di luar acara MIHAS@Dubai 2024 hari ini.

 Beliau berkata MoU itu juga menyasarkan pengembangan pasaran secara menghubungkan pengeksport dengan pemegang-pemegang kepentingan utama di peringkat tempatan dan antarabangsa. Ia termasuk peluang padanan perniagaan untuk membantu syarikat Malaysia memasuki pasaran baharu dan mengukuhkan jejak global mereka.

Selain itu, perjanjian berkenaan turut meneroka pilihan sokongan kewangan untuk meningkatkan keupayaan syarikat-syarikat Malaysia dalam pasaran global.

Ini termasuk insentif daripada MATRADE dan EXIM Bank, serta akses kepada dana dan geran yang berkaitan bagi menyokong aktiviti-aktiviti perdagangan antarabangsa mereka. 

“MoU ini juga akan menyokong program yang sejajar dengan agenda Bumiputera, termasuk inisiatif yang memberi tumpuan kepada pemilikan dalam kalangan wanita dan belia,” katanya.

 Selain itu, Ia bertujuan meningkatkan kehadiran global bagi produk dan perkhidmatan Malaysia melalui aktiviti promosi perdagangan strategik, pembinaan kapasiti dan akses pasaran yang lebih baik, membolehkan perniagaan bersaing dengan lebih berkesan di persada dunia. 

Pada pameran itu, Bubbles O2 Marketing Sdn Bhd dan Richiamo Coffee Sdn Bhd mengadakan majlis pertukaran memorandum perjanjian (MoA). 

Dalam satu kenyataan, Richiamo Coffee berkata perkongsian itu menandakan kerjasama strategik untuk mengembangkan rangkaian pasaran, khususnya dalam pasaran domestik. 

Pengarah Urusan Richiamo Group Muhamad Zamry Abu Samah berkata MoA itu menunjukkan sinergi dua syarikat yang bekerjasama bagi meningkatkan produk Malaysia ke standard global. 

“Perkongsian ini melangkaui kafe, dengan produk-produk Bubbles O2 turut dipasarkan melalui Richiamo Mart,” katanya.

 Muhamad Zamry menambah kedua-dua pihak akan mendapat manfaat daripada usaha pemasaran silang dengan memanfaatkan kekuatan jenama masing-masing.

"Saya yakin kerjasama ini akan mengukuhkan angka jualan dan memberi manfaat bersama kepada kedua-dua syarikat," katanya.

Majlis menandatangani MoU dan MoA itu disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa perasmian Pavilion Malaysia di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) di Dubai.

Turut hadir Pengerusi MATRADE Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

MIHAS@Dubai 2024 yang dianjurkan oleh MATRADE, menampilkan DXN sebagai rakan strategik, Bubbles O2 sebagai rakan kongsi minuman pilihan dan Westports merupakan rakan kongsi logistik.

 Ia diadakan seiring dengan Ekspo Produk Organik & Asli Timur Tengah yang disokong oleh Kementerian Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Emiriah Arab Bersatu (UAE).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan