Oleh Anas Abu Hassan
KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Ekosistem yang kukuh berteraskan industri di China menjadi satu daripada faktor utama menarik perniagaan Malaysia memasuki pasaran negara itu sebagai sebahagian daripada strategi pengembangan mereka.
Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Aerodyne Datuk Kamarul A Muhamed menggambarkan China sebagai sebuah negara yang boleh dianggap sebagai hab pembuatan dan pusat inovasi dunia.
Katanya, banyak teknologi baharu yang pesat membangun datang dari negara tersebut.
"Malaysia adalah negara yang mesra dan neutral, jadi kami mengekalkan hubungan baik dengan semua pihak. Bekerjasama dengan syarikat China dapat meningkatkan pemindahan teknologi di antara kedua-dua negara dengan ketara.
"Pada masa ini, kami sedang bekerjasama dengan pelbagai syarikat China termasuk pelabur dan rakan operasi dari Shenzhen selain kami mempunyai pejabat di Shanghai.
"Kami juga sedang bersama-sama membangunkan beberapa teknologi dron baharu untuk meneroka kaedah untuk kami menambah nilai di antara satu sama lain," katanya kepada Bernama dalam wawancara eksklusif menjelang Sidang Kemuncak Malaysia-China (MCS) 2024 yang akan datang.
Sidang kemuncak itu akan diadakan pada 17 hingga 19 Dis, 2024 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Menurut Kamarul, Aerodyne amat menantikan untuk membina hubungan baharu dengan syarikat dari China sewaktu berlangsungnya MCS 2024 selain mengukuhkan kerjasama sedia ada.
Dalam pada itu, Pengarah Julie’s Biscuits Sai Tzy Horng menekankan mengenai usaha merapatkan jurang budaya di antara pengguna Malaysia dengan China serta evolusi berterusan untuk memenuhi keperluan pelbagai pasaran kedua-dua negara.
Katanya, ini merupakan antara bidang strategik utama bagi syarikat milik Malaysia untuk mengembangkan perniagaan di China.
Sai berkata sewaktu MCS 2024 akan datang, syarikat itu akan mempamerkan transformasi jenama Julie's dengan menekankan perjalanan inovasi, penyesuaian pasaran dan komitmennya terhadap kualiti.
"Kami akan menunjukkan bagaimana Julie’s berkembang untuk memenuhi keperluan pelbagai pengguna Malaysia dan antarabangsa dengan memberi tumpuan khusus kepada kejayaan syarikat di China apabila kami menyesuaikan produk untuk selaras dengan keutamaan tempatan sambil mengekalkan nilai teras kami.
"Matlamat kami adalah untuk berinteraksi dengan pemimpin industri, berkongsi visi kami untuk masa depan dan menyerlahkan peranan positif yang dimainkan oleh syarikat peringkat pertengahan seperti Julie’s dalam memperkukuhkan kehadiran Malaysia di pentas global," katanya.
MCS 2024 dianjurkan oleh Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan disokong oleh Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB), rakan penerbangan rasmi AirAsia serta penaja korporat Petronas dan DSR Taiko yang merupakan antara rakan strategik lain.
Bertemakan "Kemakmuran Melangkaui 50", sidang kemuncak ini mencerminkan inisiatif strategik untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang berterusan, kemajuan masyarakat dan kesejahteraan secara keseluruhan serta kerjasama selain sinergi yang berterusan di antara Malaysia dengan China.
Sekitar 500 pempamer dari Malaysia, China dan negara-negara ASEAN dijangka mengambil bahagian dalam sidang kemuncak ini yang akan menarik 10,000 pengunjung perdagangan serta delegasi selain daripada potensi perdagangan dan pelaburan yang dianggarkan bernilai RM2 bilion.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial