EKONOMI > BERITA

MALAYSIA PERLUKAN LEBIH BANYAK PEMULA NIAGA, SYARIKAT TEKNOLOGI TINGGI DISENARAIKAN DI BURSA - RAFIZI

22/04/2024 06:45 PM

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Hanya sebilangan kecil pemula niaga dan syarikat berteknologi tinggi bersedia untuk disenaraikan di Bursa Malaysia kerana majoriti syarikat di Malaysia kekal dalam sektor tradisional, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Walaupun Malaysia mempunyai kekuatan dalam industri elektrik dan elektronik sebagai pengeksport global, beliau berkata, hanya empat hingga lima peratus syarikat berteknologi tinggi disenaraikan di bursa tempatan.

“Sayang sekali, kerana negara ini diiktiraf di peringkat global sebagai salah satu pemain semikonduktor terpenting di dunia,” katanya semasa sesi forum “From Malaysia to the world, open for tech business” pada Sidang Kemuncak KL20 2024, di sini, hari ini.

Rafizi berkata perlu ada perancangan bagi syarikat teknologi dan pemula niaga untuk bersiap sedia bagi penyenaraian untuk meningkatkan ekosistem perniagaan Malaysia.

"Dengan mencapai sasaran ini, kita boleh mewujudkan ekonomi bernilai tinggi yang mampan dengan tumpuan kerajaan beralih daripada pembiayaan dan intervensi kepada pembangunan kawal selia dan ekosistem," katanya.

Beliau berkata matlamat kerajaan bukan hanya sekadar pelaburan kewangan dalam syarikat pemula niaga tetapi juga untuk menarik tenaga kerja teknologi dari seluruh dunia ke Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Datuk Amirul Feisal Wan Zahir mencadangkan jaminan kesinambungan dan ketersediaan modal untuk mengurangkan kebimbangan dalam kalangan syarikat pemula niaga.

“(Justeru), ini peranan kita. Kita mempunyai mandat pelaburan dan bersifat pembangunan.

"Dari segi pulangan kita beroperasi dalam tempoh pembangunan jangka panjang yang membolehkan kita mengambil risiko yang lebih besar dan membawa masuk rakan yang boleh menilai keseluruhan ekosistem," katanya.

Rakan pengurusan K3 Ventures Kuok Meng Xiong yang senada dengan Amirul berkata memastikan kesinambungan modal akan memupuk budaya mengambil risiko.

"Bukan sahaja Malaysia merupakan pasaran yang menarik, tetapi saya juga percaya bahawa jika kita dapat menangani masalah modal, kita akan memupuk budaya mengambil risiko yang boleh menjana hasil yang baik bagi penduduk yang tinggal di sini," kata Kuok.

--BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan