EKONOMI > BERITA

JOHOR LIHAT PEMBANGUNAN SHENZHEN SEBAGAI SUMBER INSPIRASI - ONN HAFIZ

25/04/2024 06:33 PM

ISKANDAR PUTERI, 25 Apr (Bernama) -- Johor melihat Shenzhen sebagai sumber inspirasi bagi pembangunan negeri tersebut,  kata Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau berkata Johor dan Shenzhen berkongsi banyak persamaan dan negeri itu sedang berusaha untuk meniru kejayaan Shenzhen membangunkan ekonominya dalam tempoh hanya empat dekad dengan memanfaatkan ekonomi maju bandar jirannya.

“Saya dan pasukan saya berada di Shenzhen pada Mac tahun ini dan salah satu perkara yang saya pelajari di sana ialah pertumbuhannya (Shenzhen) dan cara mereka menyelesaikan sesuatu perkara.

"Dari segi lokasi dan saiz geografi, ia lebih kurang sama antara Johor dan Shenzhen, dan jika anda melihat lokasi geografi, ia sangat serupa...Shenzen-Hong Kong benar-benar serupa dengan Johor-Singapura," kata Onn Hafiz dalam ucapannya pada majlis pembukaan operasi pemasangan X-ray Ray Tech (Malaysia) Sdn Bhd di sini, hari ini.

Ray Tech adalah anak syarikat perusahaan berteknologi tinggi China, Unicomp Technology. 

Menteri Besar berkata pelbagai inisiatif telah dirancang untuk memanfaatkan kedekatan Johor dengan negara jiran Singapura seperti  projek Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Zon Kewangan Khas (SFZ) dan Laluan Rapid Transit System (RTS). 

“Berhubung JS-SEZ, kami sedang berusaha untuk memuktamadkan terma perjanjian, yang dijangka ditandatangani menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Onn Hafiz berkata melalui JS-SEZ, kerajaan bercadang untuk mewujudkan kemudahan menjalankan perniagaan bagi membolehkan pergerakan lebih pantas antara Johor dan Singapura.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan negeri sedang mengkaji untuk memperkenalkan insentif bagi cukai korporat dan peribadi.

“Masa depan Johor cerah kerana selain mempunyai JS-SEZ, SFZ, terdapat juga projek infrastruktur yang sedang dilaksanakan dan bakal dilaksanakan.

“Projek-projek itu termasuklah RTS, yang dijangka siap menjelang akhir 2026. Kira-kira 10,000 orang boleh melakukan perjalanan antara Johor dan Singapura setiap jam,” kata Onn Hafiz.

Sementara itu, pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han berkata kerajaan negeri telah meluluskan kira-kira 250 projek pelaburan melibatkan pelbagai sektor pada suku pertama tahun ini, kebanyakannya dari China.

Beliau berkata, pertumbuhan positif ini membantu usaha kerajaan yang sedang dalam proses untuk mewujudkan JS-SEZ dan juga SFZ di Forest City, di sini.

“Tumpuan utama adalah supaya kita bukan sahaja memberikan fokus kepada negeri China, tetapi kita mahukan semua syarikat yang berkualiti ataupun syarikat yang dalam sektor yang dipromosikan ataupun sektor yang digalakkan di Malaysia ini, untuk datang ke Johor.

“Kita akan terus bekerjasama dengan kerajaan persekutuan untuk meningkatkan usaha menarik pelaburan dari China dan juga negara lain tetapi fokus kita adalah kepada sektor yang digalakkan, bukannya negara-negara tertentu,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan