EKONOMI > BERITA

SEKURITI KERAJAAN MALAYSIA KEKAL KUKUH MESKIPUN PENSTRUKTURAN AKAUN KWSP

26/04/2024 12:52 PM

KUALA LUMPUR, 26 April (Bernama) -- CIMB Investment Bank Bhd (CIMB IB) menjangkakan kesan pengenalan akaun ketiga oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ke atas permintaan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) dapat diimbangi oleh sumbangan bersih yang kukuh, mudah tunai dalam negara yang mencukupi, dan penghantaran balik oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Semalam, KWSP mengumumkan insiatif penstrukturan semula akaun yang akan berkuat kuasa pada 11 Mei, dengan memperkenalkan akaun ketiga iaitu Akaun Fleksibel untuk keperluan kewangan jangka masa pendek.

Menerusi nota penyelidikan pada Jumaat, bank pelaburan itu menjelaskan kesan negatif terhadap permintaan MGS dan GII dalam tempoh terdekat dapat diimbangi oleh caruman bersih yang kukuh secara berterusan kepada KWSP, yang meningkat RM52.2 bilion (2023), serta pertumbuhan aset di bawah pengurusan (AUM) (2023: meningkat RM133 bilion) susulan pasaran buruh yang teguh dan pertumbuhan gaji.

“Ini juga dapat diimbangi oleh peningkatan caruman KWSP susulan peralihan bagi penjawat awam baharu kepada pelan persaraan caruman yang ditetapkan, serta insentif untuk menggalakkan caruman sukarela oleh pekerja tidak formal.

“Selain itu, kecairan dalam negara yang kukuh seperti yang dibuktikan oleh keadaan terlebih langgan lelongan di samping penghantaran balik oleh GLC/GLIC/korporat dan pertukaran pendapatan pelaburan asing atau hasil eksport juga sebagai faktor sokongan,” katanya.

CIMB IB menambah bahawa potensi pengeluaran caruman KWSP boleh disederhanakan jika segmen T20 digalakkan untuk mengekalkan simpanan menerusi kadar dividen yang seragam merentas semua akaun buat masa ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan