EKONOMI > BERITA

CMM PELAWA MAKLUM BALAS MENGENAI TAMBAHAN PANDUAN SEKTOR BAGI PANDUAN PENDEDAHAN ESG UNTUK PKS

26/04/2024 01:30 PM

KUALA LUMPUR, 26 April (Bernama) -- Capital Markets Malaysia (CMM), sekutu Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), menerbitkan kertas perundingan dan mempelawa maklum balas awam mengenai Panduan Sektor baharu untuk menambah Panduan Pendedahan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus Dipermudah (SEDG).

Panduan Sektor itu sebagai lanjutan daripada SEDG CMM yang dilancarkan pada 18 Okt, 2023 bagi menyediakan set garis panduan diperkemas dan diseragamkan mengenai pendedahan ESG yang diharapkan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam rantaian bekalan global.

Dokumen itu juga akan memberikan panduan yang sejajar dengan kerangka ESG global dan tempatan yang berkaitan.

Perkara itu termasuk Inisiatif Pelaporan Global (GRI), Lembaga Piawaian Kelestarian Antarabangsa (ISSB), Keperluan Penyenaraian Bursa Malaysia, Panduan Pelaporan Kemampanan Bursa serta Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG).

Menurut kenyataan pada Jumaat, CMM menjelaskan Panduan Sektor itu mengandungi pendedahan yang dipertingkatkan untuk lima sektor penting dalam ekonomi Malaysia iaitu tenaga, pengangkutan dan penyimpanan, pembinaan dan hartanah, pertanian serta pembuatan.

Kertas perundingan itu secara khusus untuk mendapatkan maklum balas mengenai pendedahan alam sekitar dan sosial tambahan yang disyorkan khusus untuk lima sektor itu.

“Walaupun tumpuan utama adalah kepada PKS dalam rantaian bekalan namun, CMM amat menggalakkan penyertaan daripada semua pihak berkepentingan yang berkaitan termasuk syarikat peringkat pertengahan (MTC), syarikat multinasional (MNC) dan syarikat senaraian awam (PLC) dalam industri ini,” tambahnya.

Tempoh perundingan awam selama tiga minggu bermula hari ini sehingga 17 Mei, 2024, dan pihak yang berminat dijemput untuk mengemukakan ulasan dan maklum balas mereka sebelum tarikh tutup.

Pertanyaan mengenai kertas perundingan boleh dikemukakan kepada CMM menerusi e-mel di general@capitalmarketsmalaysia.com.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan