EKONOMI > BERITA

KAJI SEMULA TANAH PERTANIAN DI MALAYSIA BAGI TINGKATKAN SEKTOR MAKANAN - PAKAR EKONOMI

06/05/2024 03:43 PM

Daripada Siti Radziah Hamzah

BEIJING, 6 Mei (Bernama) -- Terdapat keperluan untuk mengkaji semula tanah pertanian yang dinamik bagi mengoptimumkan penggunaan tanah di Malaysia kerana ia mengalami kekurangan sumber dalam mempromosikan sektor pertanian makanan, kata ahli ekonomi.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata dalam hal ini pertanian vertikal akan membantu meminimumkan penggunaan tanah dan membolehkan penanaman dengan lebih mampan.

"Mungkin pertanian vertikal atau menegak sesuai di kawasan bandar, terutamanya apabila terdapat banyak bangunan komersial. Bagi penduduk luar bandar, mengoptimumkan tanah warisan dan terbiar adalah kaedah yang paling mudah," katanya kepada Bernama.

Selain itu, sektor pertanian memerlukan penjenamaan semula kerana sektor tersebut memerlukan naratif yang merangkumi teknologi baharu dan pendapatan yang lebih tinggi untuk menarik bakat muda menyertai industri berkenaan.

Malaysia telah bergantung kepada sumber asing untuk pertanian bagi makanan domestik.

Pelbagai barangan makanan di Malaysia secara konsisten berada di bawah paras 100 peratus nisbah sara diri (SSR), menandakan perlunya import bagi memenuhi permintaan dalam negeri.

Selain itu, nisbah pergantungan import untuk semua jenis bawang berada pada paras 100 peratus, yang menunjukkan pergantungan sepenuhnya kepada sumber luaran.

Menurut Bank Muamalat, nisbah pergantungan import untuk bawang, kobis bulat dan cili ialah masing-masing pada 100 peratus, 55.5 peratus dan 74 peratus untuk 2022; bagi kambing, daging lembu dan sotong, masing-masing pada 91.5 peratus, 85.6 peratus, 70.6 peratus.

 “(Keadaan ini) mengakibatkan negara terdedah kepada perubahan harga antarabangsa, dan krisis daripada negara-negara pengeksport makanan berpotensi menyebabkan kejutan bekalan yang boleh memburukkan lagi kenaikan harga makanan,” kata Mohd Afzanizam.

Dengan campur tangan dasar yang betul, pertanian boleh menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, kata ahli ekonomi itu sambil menambah terdapat keperluan untuk kembali kepada asas.

"Tumpuan sentiasa diberikan kepada sektor perladangan yang boleh difahami sebagai usaha komersial yang akan memberi pulangan lebih tinggi. Bagaimanapun, pergantungan kita kepada import makanan perlu dikaji semula.

“Jika kita dapat melakukannya dengan baik, ia boleh menjadi pemangkin kepada strategi pertumbuhan seimbang di antara negeri-negeri dan menjadi penggerak utama untuk mengurangkan kemiskinan dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.

Mohd Afzanizam menyatakan bahawa menangani sekuriti makanan boleh menjadi strategi serampang dua mata, iaitu meningkatkan bekalan dan ketersediaan makanan, manakala satu lagi adalah menggunakannya sebagai pemangkin bagi membasmi kemiskinan.

Berdasarkan kepada Bank Dunia dalam Pemantauan Ekonomi Malaysia yang dikeluarkan pada Oktober 2023, Malaysia merekodkan kemiskinan mutlak pada 6.2 peratus, lebih tinggi daripada paras prapandemik iaitu 5.6 peratus pada 2019.

Ini bermakna sehingga 2022, hampir 490,000 isi rumah Malaysia masih hidup di bawah purata garis kemiskinan negara iaitu dengan pendapatan isi rumah bulanan sebanyak RM2,589.

Pakar Ekonomi dan Provos Penyelidikan dan Inovasi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia Prof Geoffrey Williams berkata pembasmian kemiskinan mutlak boleh berlaku semalaman, memandangkan ia boleh dikenal pasti dalam kategori miskin tegar dan menyediakan pemindahan tunai secara tetap bagi meningkatkan pendapatan mereka melebihi garis kemiskinan.

"Malaysia telah melakukannya dan ia berjaya. Pembasmian kemiskinan tegar adalah berdasarkan pemindahan tunai secara langsung kepada isi rumah yang disasarkan. Ini adalah pendekatan yang betul," katanya kepada Bernama.

Williams berkata pemindahan tunai secara langsung tidak memerlukan kos yang tinggi dan ia boleh digabungkan dan dibayar melalui belanjawan subsidi sedia ada.

"Ia akan lebih murah daripada subsidi semasa. Memindahkan RM500 secara bulanan kepada isi rumah B40 akan menelan belanja sebanyak RM17.5 bilion setahun. Ini akan menggabungkan skim bantuan sedia ada.

"Jadi, dengan mengambil belanjawan sedia ada dan menggunakan PADU untuk menyasarkan penerima adalah berpatutan sepenuhnya untuk melaksanakan Pendapatan Asas Sejagat (UBI)," katanya sambil menambah ambang UBI harus ditetapkan berdasarkan kepada Bank Negara Malaysia, Jabatan Perangkaan dan aplikasi mudah alih Belanjawanku Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Belanjawanku KWSP menganggarkan gaji sara hidup. Mereka yang di bawah ambang ini harus menerima pindahan tunai secara terus untuk meningkatkan nilai UBI. Ini adalah cara terbaik untuk membasmi kemiskinan mutlak, relatif dan lain-lain bentuk kemiskinan.

"Ini adalah asas kepada sistem PADU baharu dan boleh menggantikan semua pengagihan kebajikan ad hoc yang lain," tambahnya.

Mengenai sama ada pembandaran boleh membantu mengurangkan kemiskinan, Williams berkata pembandaran berlaku secara semula jadi dan berkemungkinan ia tidak selalu menyelesaikan masalah.

"Adalah lebih baik untuk melakukan pembaharuan dari segi peluang-peluang ekonomi di luar bandar seperti contoh, dengan mereformasi Felda seperti yang disarankan oleh (Timbalan Perdana Menteri) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini," katanya.

Pada Mac, Ahmad Zahid berkata kerajaan akan mengumumkan pendekatan baharu untuk memanfaatkan Felda tidak lama lagi.

Beliau juga berazam untuk melaksanakan perubahan segera kepada Felda, khususnya pendapatan bersih peneroka Felda bagi membolehkan mereka keluar daripada kepompong kemiskinan tegar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan