EKONOMI > BERITA

WASCO DIUNJUR CATAT KEUNTUNGAN LEBIH BAIK PADA SUKU AKAN DATANG

05/06/2024 07:34 PM

KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) -- Wasco Bhd optimis untuk mencatatkan keuntungan dan hasil lebih baik menerusi segmen salutan paip, kejuruteraan dan biotenaga pada suku akan datang, disokong oleh nilai perolehan kukuhnya sebanyak RM3.20 bilion serta buku tender berjumlah RM7.25 bilion.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Gian Carlo Maccagno berkata perintah pesanan diterima kumpulan dan peningkatan jumlah buku tender adalah tertinggi dicatatkan setakat ini.

Beliau berkata ketika ini sumbangan hasil bagi segmen salutan paip (pipe coating), kejuruteraan dan biotenaga kumpulan masing-masing berjumlah 40 peratus, 40 peratus dan 20 peratus.

Beliau berkata kedudukan pasaran strategik Wasco memberikan kelebihan daya saing yang tiada tandingan untuk memanfaatkan semua sektor pasaran dan pembangunan jangka panjang infrastruktur hidrogen global juga meletakkan kumpulan itu untuk masa depan mampan dalam pasaran tenaga baharu.

Mengulas lanjut mengenai prospek positif, Maccagno berkata pasaran salutan paip diunjurkan berkembang daripada US$8.3 bilion pada 2021 kepada US$10.6 bilion menjelang 2027 dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 6.8 peratus.

Sementara itu, beliau berkata rangkaian saluran minyak dan gas global kini menjangkau 2.15 juta kilometer (km), dijangka berkembang lebih lima peratus menjelang tahun 2027.

“Selain itu, saluran paip sepanjang hampir 5,000 km khusus untuk projek penangkapan dan penyimpanan karbon dijangka antara 2024 dan 2027, menetapkan peringkat untuk pertumbuhan industri yang ketara,” katanya semasa taklimat media pada Hari Pelabur Wasco yang julung kalinya bertemakan ‘Navigating the Future of Energy’ di sini hari ini.

Menyedari kepentingan saham hijau (saham yang menumpukan produk, perkhidmatan atau teknologi mesra alam sekitar), Wasco komited untuk menyumbang dengan ketara kepada sektor tenaga mampan dan menyasarkan untuk mencapai sifar bersih untuk skop satu dan dua menjelang 2026.

"Inisiatif tenaga boleh baharu kami dan amalan bertanggungjawab terhadap alam sekitar menekankan dedikasi kami kepada penciptaan nilai bagi tempoh jangka panjang," katanya.

Selain itu, beliau berkata inisiatif strategik kerajaan juga dijangka meningkatkan lagi pelaburan dalam sektor biojisim, menempatkannya sebagai kawasan pertumbuhan terkemuka dalam pasaran tenaga.

Keuntungan bersih Wasco untuk suku pertama berakhir 31 Mac 2024 meningkat kepada RM57 juta daripada RM21.76 juta pada suku yang sama tahun lepas, didorong oleh pengiktirafan hasil lebih tinggi hasil daripada bilangan projek yang lebih tinggi dilaksanakan manakala pendapatannya meningkat kepada RM643.94 juta, merekodkan peningkatan 21.1 peratus tahun ke tahun.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) Hazman Hilmi berkata Dana Pemacu yang baharu dilancarkan itu berharap dapat membawa masuk lebih banyak pelaburan hijau atau saham hijau tidak lama lagi termasuk daripada pasaran Eropah, seiring dengan matlamat pelaburan yang mampan.

“Bagaimanapun, apabila kita bercakap mengenai saham hijau, wujud kekurangan bekalan modal di rantau ini dan pada masa sama kekurangan peluang juga,” katanya semasa sesi perbincangan panel - 'Unlocking the Value of Green Stocks’.

KWAP merancang mewujudkan 12 dana di bawah Dana Pemacu dengan empat dana masing-masing dalam kelas ekuiti persendirian, infrastruktur dan aset hartanah, majoriti pelaburan berada di Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan