Op Tiris: Wanita Antara Enam Ditahan Di Pulau Pinang

31/07/2024 09:19 PM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Seorang wanita warga tempatan dan lima lelaki warga asing ditahan dalam operasi bersepadu Op Tiris di Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 24 Julai lepas.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata operasi itu dijalankan bagi membanteras isu ketirisan serta penyelewengan barangan kawalan serta subsidi seperti minyak diesel, minyak petrol dan minyak masak.

Beliau berkata dalam operasi itu, JKDNKA melalui sel risikan utama iaitu Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) turut merampas barangan kawalan dan bersubsidi iaitu minyak masak paket satu kilogram (kg), beras, tepung gandum dan gula kasar dengan nilai keseluruhan berjumlah RM56,595.50.

“Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), Akta Kawalan Bekalan 1961, Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berdasarkan statistik Op Tiris WCB/PSK yang bermula 1 Jan hingga 30 Julai lepas, Mohd Kamarudin berkata sebanyak 32 serbuan dan 101 tangkapan dilaksanakan di seluruh negara melibatkan rampasan dan sitaan.

“Rampasan dan sitaan itu ialah 272,825 liter minyak diesel bernilai RM6.313 juta, 31,944 liter minyak petrol bernilai RM74,284 dan 2,012 kg minyak masak bernilai RM5,030 selain rampasan aset serta peralatan lain sebanyak RM94.757 juta menjadikan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM101.150 juta,” katanya.

Beliau berkata nilai keseluruhan rampasan Op Tiris pada tahun ini menunjukkan peningkatan kepada RM65.979 juta berbanding tempoh sama tahun lepas iaitu sebanyak RM35.170 juta dengan peningkatan sebanyak 186.6 peratus.

“Tindakan tegas dan agresif dalam mengekang aktiviti penyelewengan barangan kawalan dan subsidi menerusi pelaksanaan Op Tiris oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan impak positif dalam memastikan ketenteraman awam serta hasil negara sentiasa dilindungi dan terus dipelihara.

“PDRM akan meneruskan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan berkaitan dalam melaksanakan arahan Perdana Menteri untuk mempergiat dan mempertingkatkan kawal selia serta operasi ke atas barangan kawalan dan subsidi di seluruh negara bagi memastikan barangan itu sentiasa mencukupi untuk kegunaan rakyat Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan