EKONOMI > BERITA

SYNOLOGY LANCAR ACTIVEPROTECT UNTUK PERLINDUNGAN DATA PERNIAGAAN

05/06/2024 05:40 PM

Daripada Anas Abu Hassan

TAIPEI, 5 Jun (Bernama) -- Syarikat pengurusan data Synology Inc hari ini melancarkan penyelesaian perlindungan data ActiveProtect baharunya, yang direka khas menggabungkan pengurusan yang berpusat dengan seni bina berskala tinggi.

ActiveProtect menawarkan pengurusan bersatu dan kawalan dasar perlindungan data, tugasan serta perkakasan merentas organisasi.

Naib Presiden Eksekutif Jia-Yu Liu berkata perkakasan ActiveProtect baharu menyasarkan untuk menyelesaikan semua cabaran sekali gus apabila organisasi perlu mengekalkan strategi perlindungan data yang terlalu kompleks dan mahal.

“Penyelidikan, pembangunan dan pengalaman bersama pelanggan kami yang meluas membawa kepada penciptaan ActiveProtect. Ia bukan sekadar produk baharu tetapi produk revolusioner yang berpusatkan pengguna untuk pasaran.

"Kami yakin dalam penawaran ActiveProtect sebagai penyelesaian yang akan melebihi jangkaan perniagaan moden," katanya ketika berucap pada pelancaran produk global di Synology Solution Exhibition 2024 di sini.

Perkakasan ActiveProtect akan disediakan melalui pengedar dan rakan kongsi Synology pada 2024, katanya.

Sementara itu, pengurus pemasaran Synology Katherine Chiang semasa pembentangan produk berkata pasukan teknologi maklumat syarikat-syarikat boleh menggunakan ActiveProtect dalam beberapa minit dan membuat pelan perlindungan data yang komprehensif melalui dasar global menggunakan konsol berpusat.

"ActiveProtect direka untuk bersifat intuitif dan mengurangkan overhed operasi dengan ketara.

"Ia boleh beroperasi dalam mod kendiri atau terurus kluster dan kapasiti storan boleh disusun berperingkat dengan penyelesaian storan (NAS) dan rangkaian kawasan storan (SAN) Synology, Penyimpanan Objek C2 dan peralatan ActiveProtect lain dalam kluster," katanya.

Menurut Chiang, ActiveProtect memanfaatkan sandaran tambahan dengan penduaan sisi sumber, global dan merentas tapak untuk memastikan sandaran dan replikasi pantas dengan penggunaan lebar jalur yang minimum.

“ActiveProtect mempunyai kepantasan tujuh kali ganda dalam melakukan sandaran dengan nisbah penyahduplikasian biasa melebihi 2:1, mengurangkan kos operasi dengan ketara,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan