EKONOMI > BERITA

MARII, GENO DAN ACO TECH KELUARKAN KERTAS PUTIH MENGENAI TEKNOLOGI BLOKCHAIN, TOKENOMICS

10/06/2024 03:21 PM

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Geno Group dan ACO Techtelah mengeluarkan Kertas Putih Versi 1 yang komprehensif untuk meneroka teknologi blok rantai (blockchain) dan penyelesaian ekonomi berasaskan token (tokenomics) dalam ekosistem mobiliti Malaysia.

MARii berkata inisiatif dan pelaksanaannya merupakan langkah penting dalam menggunakan teknologi terus ke pelanggan (W3-D2C) dikuasakan oleh Web 3 bagi menyokong pertumbuhan perniagaan yang mampan.

Pendekatan tokenomics dikomersialkan yang dibentangkan dalam kertas putih akan melengkapkan penyelesaian MARii dan ACO Tech untuk Platform Perkhidmatan e-Mobility (eMSP), ia merupakan bahagian penting dalam Wawasan Mobiliti Terhubung kerajaan bertujuan mempercepatkan pembangunan xEV infrastruktur di Malaysia seiring dengan Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020).

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MARii, Azrul Reza Aziz berkata Kertas Putih Versi 1 adalah langkah penting dalam menggunakan teknologi W3-D2C dikuasakan Web 3 dalam persekitaran industri.

"Inisiatif ini menandakan satu langkah penting bagi industri mobiliti Malaysia ke arah kemampanan dan kecekapan lebih baik. Ia sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia (NIMP) 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) untuk mencapai 20 peratus Kenderaan Elektrik (xEV) menjelang tahun 2030, sebanyak 50 peratus menjelang 2040 dan 80 peratus menjelang 2050," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, MARii berkata semua pihak akan memastikan bahawa inisiatif ini akan mematuhi rangka kerja undang-undang sedia ada dan mengekalkan ketelusan penuh.

Mereka juga akan bekerjasama rapat dengan pengawal selia untuk menegakkan integriti dan kesahihan aplikasi industri pertama tokenisasi aset dunia sebenar (RWA) dalam sistem mobiliti elektrik, katanya.

"Penyelesaian tokenisasi RWA digariskan dalam kertas putih berkenaan mengutamakan privasi data dan kedaulatan, membolehkan pengewangan data dan memupuk ekosistem mampan untuk menarik pelabur strategik dan rakan kongsi perniagaan jangka panjang," katanya.

MARii berkata Kertas Putih Versi 1 itu juga memperincikan cara mendapatkan pembiayaan untuk infrastruktur dan memastikan pulangan pelaburan (ROI) melalui kontrak jangka panjang dengan faedah terjamin.

"Selain itu, pelanggan juga diberi insentif untuk mengambil bahagian dalam membina ekosistem manakala pemilik jenama pengeluar peralatan asal (OEM) boleh berinteraksi secara langsung dengan pelanggan mereka dengan cara yang lebih menjimatkan kos," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Geno, Ian Zhang berkata syarikat itu komited untuk membantu pelanggannya dalam perjalanan transformasi mereka, beralih daripada industri tradisional dengan penggunaan teknologi termaju melalui inisiatif tersebut.

Kertas Putih Versi 1 menggariskan komitmen kukuh terhadap kemajuan teknologi dan pematuhan kawal selia, memperincikan beberapa aplikasi menggunakan penyelesaian rantaian blok rantai Geno termasuk pengurusan rantaian bekalan, kitar semula untuk ekonomi kitaran dan penjejakan kredit karbon.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan