EKONOMI > BERITA

PROTON RANCANG LANCAR LIMA MODEL EV DI BAWAH JENAMA E.MAS

12/06/2024 09:48 PM

SUBANG JAYA, 12 Jun (Bernama) -- Pengeluar kereta nasional, Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton) merancang untuk melancarkan lima model kenderaan elektrik (EV) menggunakan platform Global Modular Architecture (GMA) di bawah jenama EV yang baru dilancarkan, Proton e.MAS.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn Bhd, Roslan Abdullah berkata model EV pertama di bawah jenama baharu itu dijangka dilancarkan menjelang tahun 2025.

“Proton belum memutuskan garis masa (menetapkan tarikh) tetapi model pertama akan dilancarkan tidak lama lagi, ia mungkin awal 2025 atau lebih awal.

“Kami mahu memastikan penerimaan Proton EV di pasaran… dari segi volum dan model, kami akan memutuskan (untuk melancarkan lebih banyak EV) berdasarkan permintaan dan penerimaan orang ramai terhadap Proton EV,” kata Roslan.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan nama dan logo jenama EV baharu Proton, e.MAS di Pusat Kecemerlangan Proton di sini hari ini.

Roslan berkata syarikat itu akan mencari harga yang sesuai untuk memasarkan Proton e.MAS EV yang akan memberi manfaat kepada orang ramai dan kerajaan.

"Selain membangunkan ekosistem automotif, kami juga diamanahkan oleh kerajaan dan pemegang saham untuk menghasilkan kereta mampu dimiliki oleh rakyat Malaysia.

"Kami mendapati kebanyakan kereta EV di pasaran kini berada dalam julat melebihi RM100,000 dan kami sedang melihat julat harga sesuai untuk Proton, orang ramai dan kerajaan," katanya.

Proton hari ini telah melancarkan jenama EV baharunya bernama e.MAS, bertujuan untuk meningkatkan mobiliti rakyat Malaysia dengan model EV baharunya yang akan datang.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Dr Li Chunrong dalam satu kenyataan berkata jenama e.MAS dan produknya adalah lanjutan daripada tiga nilai teras Proton iaitu Teknologi Inovatif, Kebolehpercayaan dan Antarabangsa.

“Ini adalah langkah seterusnya dalam evolusi syarikat dan pada beberapa bulan yang akan datang, kami akan membuat pengumuman baru untuk membina pengiktirafan jenama dan promosi produk menjelang pelancaran Proton e.MAS EV pertama pada Disember tahun ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan