EKONOMI > BERITA

PROTON TERIMA ANUGERAH GRAND PRIX ASEAN NCAP 2024

14/06/2024 06:28 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- PROTON telah menerima anugerah kecemerlangan industri yang paling berprestij melalui Anugerah Grand Prix ASEAN NCAP 2024 sebagai pengiktirafan atas komitmen syarikat untuk memajukan keselamatan kenderaan dan usahanya dalam meningkatkan ciri keselamatan di seluruh barisan modelnya.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holdings Bhd Roslan Abdullah berkata pengiktirafan itu menyerlahkan teknologi keselamatan inovatif pengeluar kereta nasional itu dan kemajuan penting yang dicapai untuk memastikan kesejahteraan pelanggan.

“Rangkaian model pintar kami memaparkan sejumlah besar teknologi keselamatan pasif serta aktif, terutamanya model terbaru kami, Proton S70 dan Proton X90 yang dilengkapi dengan ciri-ciri seperti Sistem Peringatan Memandu Keletihan (FDRS) untuk mengurangkan risiko keletihan pemandu,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Kenderaan utiliti sukan (SUV) terlaris PROTON, iaitu Proton X50 dan Proton X70, kedua-duanya adalah model bertaraf 5 bintang.

Proton X50 yang dilancarkan 2024 mempunyai enam beg udara sistem penahan tambahan, kawalan kestabilan elektronik, bantuan pemandu lanjutan tahap dua sistem dan sistem pemantauan tekanan tayar. 

Selain daripada anugerah tersebut, acara ASEAN NCAP dua kali setahun yang diadakan di Universiti Teknologi King Mongkut, Bangkok Utara itu menampilkan sesi bernas mengenai protokol dan teknologi keselamatan terkini. 

ASEAN NCAP ialah usaha kerjasama antara Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia dan NCAP Global yang bertujuan untuk meningkatkan standard keselamatan, kesedaran pengguna dan menggalakkan pasaran bagi kenderaan yang lebih selamat dalam komuniti ASEAN.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan