EKONOMI > BERITA

SC KELUARKAN EDISI PERTAMA PANDUAN PRAKTIKAL UNTUK MODAL TEROKA, EKUITI SWASTA

13/06/2024 01:21 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengeluarkan edisi pertama ‘Panduan Praktikal untuk Modal Teroka (VC) dan Ekuiti Swasta (PE) di Malaysia'.

Badan kawal selia itu dalam kenyataan hari ini berkata panduan ini akan melengkapkan bakal pengurus dana VC dan PE, penyedia perkhidmatan dan pelabur dengan pengetahuan praktikal mendalam untuk mengemudi landskap dasar Malaysia yang mentadbir operasi sektor ini.

“Kandungan utama panduan ini termasuk maklumat mengenai peraturan pasaran modal tempatan yang berkaitan dengan industri VC dan PE, dasar pertukaran asing, perihal percukaian, pertimbangan struktur dana dan bidang lain yang penting untuk membiayai operasi,” katanya.

SC berkata penerbitan panduan ini adalah sebahagian daripada usahanya untuk memupuk sektor pasaran swasta yang lebih dinamik bawah Pelan Induk Pasaran Modal 3.

Usaha ini sejajar dengan usaha lebih luas SC untuk mendalamkan saluran pembiayaan berasaskan pasaran untuk perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) dan syarikat peringkat pertengahan (MTC), katanya.

“Inisiatif ini akan meningkatkan peranan pengurus dana profesional dan membina pangkalan pelabur lebih dinamik yang mampu menyalurkan pelaburan ke arah usahawan dan PMKS.

“Panduan ini juga menyokong agenda nasional KL20 untuk memantapkan Malaysia sebagai ekosistem permulaan terkemuka di peringkat antarabangsa dengan menyediakan panduan praktikal untuk bakal pengurus dana dan pelabur yang ingin menubuhkan atau memperluaskan keberadaan mereka di Malaysia,” katanya.

Pengerusi SC Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin dalam kenyataan sama berkata, dengan kejelasan mengenai landskap perniagaan Malaysia bagi firma VC dan PE, SC bermatlamat untuk membina komuniti pelabur profesional yang lebih dinamik demi menyokong usahawan di Malaysia.

Menurut kenyataan itu, VC dan PE merupakan komponen penting dalam ekosistem pembiayaan alternatif bagi pasaran modal Malaysia.

Pada 2023, komitmen dana keseluruhan untuk VC dan PE berjumlah RM17.85 bilion, dengan peningkatan daripada RM16.08 bilion pada 2022.

Pelaburan VC dan PE menyumbang RM5.9 bilion daripada jumlah dana yang dikumpulkan di pasaran modal Malaysia dari 2017 hingga 2023, kata SC.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan